LPPSA

KUALA LUMPUR – Berkuat kuasa hari ini, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) memperkenalkan Program LPPSA i-Prihatin kepada pelanggan yang masih mempunyai akaun berstatus aktif.

Menurut LPPSA, program kerjasama antara LPPSA dan panel Insurans / Takaful Am LPPSA berkenaan memberi pilihan kepada pelanggan untuk memiliki perlindungan tambahan selain perlindungan Insurans / Takaful Mortgage Reducing Term Assurance / Takaful yang telah diluluskan bersama-sama pembiayaan perumahan sektor awam sebelum ini.

“Melalui Program LPPSA i-Prihatin, pelanggan layak untuk memohon Perlindungan Kemalangan Diri Berkelompok (GPA) dengan bayaran premium sebanyak RM100 setahun dan menikmati perlindungan kewangan tambahan untuk kematian dan kecacatan anggota badan (kekal penuh atau separa kekal) disebabkan kemalangan bernilai RM100,000,” menurut LPPSA dalam kenyataan hari ini.

Artikel berkaitan: CUEPACS mohon penangguhan potongan pinjaman LPPSA

Menurut kenyataan itu, manfaat atau perlindungan yang ditawarkan termasuk kematian / keilatan menyeluruh dan kekal akibat kemalangan, keilatan separuh dan kekal akibat kemalangan, jumlah perlindungan tambahan untuk kematian / keilatan menyeluruh dan kekal akibat kemalangan semasa melancong di luar negara dan di dalam pengangkutan awam.

Manfaat dan perlindungan lain adalah perbelanjaan pengebumian akibat kemalangan, perbelanjaan penghantaran pulang jenazah akibat kemalangan, Badal Haji, perbelanjaan pemulihan akibat kemalangan, perbelanjaan perubatan akibat kemalangan serta bayaran ambulans.

Manfaat atau perlindungan yang ditawarkan juga termasuk elaun kecederaan akibat diragut, elaun penyembuhan denggi, perlindungan akibat rompakan ATM dan pendapatan harian hospital akibat kemalangan (maksimum 100 hari setahun).

Permohonan perlindungan GPA boleh dibuat melalui pautan www.lppsa.gov.my/gpa dan sebarang pertanyaan lanjut boleh dikemukakan melalui Portal Pertanyaan/ Aduan Rasmi LPPSA di https://etiket.lppsa.gov.my/.

— BERNAMA

 


IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast