Gambar hiasan

KETIKA ini, statistik kes bunuh diri di Malaysia dilihat sedang mengalami peningkatan yang mendadak. Fenomena ini diburukkan lagi dengan penularan wabak COVID-19 yang kian mengganas sekali gus memberikan banyak implikasi buruk kepada aspek psikologi manusia. Meskipun bunuh diri adalah tingkah laku yang dahulunya jarang-jarang berlaku dalam masyarakat Malaysia namun kini menjadi polemik yang semakin membimbangkan.

Bahkan, pendedahan berkaitan bunuh diri yang suatu ketika dahulu didengari dalam kes di luar negara, kini sudah menjadi satu perlakuan yang tidak janggal lagi dalam kalangan masyarakat Malaysia. Justeru, kejadian bunuh diri dan percubaan bunuh diri telah menjadi suatu masalah kesihatan masyarakat yang utama.

Secara asasnya, tingkah laku membunuh diri terdiri daripada 3 spektrum iaitu pertama idea bunuh diri yang merujuk kepada pemikiran untuk terlibat dalam tingkah laku yang bertujuan untuk mengakhiri kehidupan. Kedua, rancangan membunuh diri yang merujuk kepada rancangan seseorang untuk mati dan terakhir adalah cubaan menbunuh diri iaitu penglibatan dalam potensi tingkah laku mencederakan diri di mana sekurang-kurangnya ada niat untuk mati.

Kesemua tingkah laku ini bukan sahaja memberi kesan kecedaraan fizikal atau mengundang maut kepada individu tersebut malah turut memberi kesan emosi yang amat dahsyat kepada keluarga serta memberi impak negatif kepada perkembangan sosial, ekonomi dan juga politik negara. Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan sepanjang tempoh lima bulan pertama iaitu bermula Januari hingga Mei tahun 2021 merekodkan jumlah kes bunuh diri sebanyak 468 kes.

Angka ini merupakan jumlah tertinggi berbanding sepanjang tahun 2020 mencatat kes bunuh diri sebanyak 631 kes manakala 609 kes pada tahun 2019. Berdasarkan angka tersebut didapati kebanyakan mangsa kes bunuh diri terdiri dari kalangan yang berumur
sekitar 15 hingga 18 tahun dengan jumlah 872 orang, dan diikuti umur 19 hingga 40 tahun sebanyak 668 orang. Siasatan yang dijalankan pihak polis telah mengenal pasti faktor penyebab kes bunuh diri ialah berpunca dari tekanan perasaan, kewangan dan masalah keluarga.

Walau bagaimanapun masyarakat perlu sedar bahawa bunuh diri bukanlah titik jalan
penyelesaian muktamad semata-mata. Masih banyak lagi solusi yang perlu dilakukan dari
memilih untuk melakukan tindakan yang tragis ini. Kemelut masalah yang melanda hidup
manusia merupakan ujian dari Allah SWT. Sesungguhnya Allah mengasihi dan menguji
hambaNya untuk melihat sejauh mana tingginya keimanan dan ketaqwaan. Hal ini dijelaskan dalam Firman Allah SWT bermaksud;

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman, sedang mereka tidak diuji? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3).

Islam menganjurkan untuk berpegang kuat pada Allah ketika diuji dan mendekatkan diri
kepadaNya. Allah sebaik-baik pertolongan, semakin dekat denganNya semakin tenang jiwa dan segala tekanan perasaan dapat dijauhkan dan diatasi dengan berfikiran rasional.
Isu bunuh diri dari perspektif Islam dilihat sebagai dosa besar.

Hal ini ditegaskan dalam hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud bahawa “Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula”. Goyahnya pegangan agama dan keyakinan diri pada Allah menyebabkan ramai yang terjerumus menzalimi diri sendiri tanpa disedari. Islam menyarankan agar umatnya terus berusaha dan jangan mudah berputus asa. Usaha yang dilakukan pasti membuahkan hasil dan dapat mengubati segala kekusutan yang dihadapi. Allah SWT berfirman dalam surah At-Taubah ayat 105 yang bermaksud,
“Hendaklah kamu semua berusaha kerana Allah akan melihat dan menilai apa yang kamu
usahakan”. 

Justeru, pelbagai inisiatif dapat dilakukan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Misalnya, melakukan perniagaan kecil-kecilan, mendaftar sebagai ejen perniagaan produk, menggunakan kemahiran yang diperoleh untuk dijadikan sumber pendapatan, mengambil tempahan menjahit baju, membuat makanan sejukbeku, menjual makanan dan membuat perkhidmatan penghantaran makanan. Secara kesimpulannya, setiap ahli masyarakat perlulah peka terhadap kesihatan mental diri, keluarga, jiran tetangga serta komuniti setempat agar semua dapat hidup harmoni dengan menyalurkan segala tekanan yang dihadapi pada tempat dan cara yang betul. Malah, dalam menangani isu bunuh diri ini, semua pihak termasuklah ibu bapa, guru, pihak kerajaan, media dan badan bukan kerajaan haruslah menggembleng tenaga bagi mencapai hasrat tersebut.

Oleh: Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz &
Dr Nor Hamizah Ab Razak
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast