KUALA LUMPUR – Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang menutup semua perkhidmatan pesakit luar mulai semalam sebagai persediaan menghadapi pengurusan pesakit Covid-19.
Sehubungan itu, perkhidmatan yang terjejas adalah rawatan klinik pakar pesakit luar di Kompleks Rawatan Harian (ACC) serta perkhidmatan fisioterapi dan pemulihan care kerja di Bangunan Utama.
Pesakit yang mempunyai janji temu klinik pakar dinasihatkan tidak hadir selepas 9 Julai sehingga diberitahu, kata Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi.
Beberapa pegawai perubatan dipertanggungjawabkan untuk memantau dan menyusun semula janji temu klinik pakar termasuk pemberian preskripsi ubat.
Tarikh dan masa baharu akan diberikan kepada pesakit menerusi sistem pesanan ringkas.
Oleh itu, pesakit dinasihkatkan peka dengan notifikasi agar tidak terlepas dengan tarikh janji temu dan terputus ubat-ubatan. – MalaysiaGazette