Penguatkuasa MPS memasang tali kuning di pintu sebuah kilang haram di Kuang.

KUALA LUMPUR – Sebuah kilang di Kuang telah diarahkan tutup serta-merta semalam oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selain turut diikat tali kuning kerana tidak mempunyai lesen yang sah.

Dalam pemeriksaan ini juga, 10 orang pekerja asing tanpa izin (PATI) yang didapati telah tamat tempoh permit kerja telah ditahan oleh polis.

Operasi pemeriksaan ini turut disertai oleh Pejabat Daerah Dan Tanah Gombak, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang turut membuat pemeriksaan ke atas tiga asrama pekerja di sekitar Villa Putra dan Kuang di Sungai Buloh.

Ketiga-tiga lokasi itu didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah digariskan.

MPS berkata, sepanjang PKPD dilaksanakan daripada 5 Julai sehingga ke hari ini, MPS telah menjalankan pemantauan dan pemeriksaan pada setiap hari di seluruh kawasan pentadbiran perbandaran Selayang iaitu di pasar-pasar awam, kilang-kilang perindustrian, bengkel kenderaan, kawsaan-kawasan awam, premis perniagaan, penjaja dan badan pengurusan bersama.

Seramai 10 orang PATI ditahan di kilang tanpa lesen yang sah di Kuang.Sepanjang lima hari pemantauan SOP PKPD ini dilaksanakan, sebanyak 536 premis dan 3 penjaja telah dilawat dan sebanyak 132 premis telah diperiksa.

Selain itu, MPS turut mengeluarkan sebanyak 34 notis, 12 kompaun dan 23 premis juga telah diarahkan untuk ditutup.

Sebanyak 57 amaran lisan juga telah diberikan kepada para peniaga untuk mematuhi SOP PKPD yang telah digariskan. – MalaysiaGazette