Bantuan Bakul Makanan oleh MIC Alam Shah dan Skin Magic Untuk penduduk sekitar Shah Alam dan Klang

KLANG – MIC Alam Shah mengambil inisiatif bersama-sama pertubuhan amal dan badan korporat menyalurkan bantuan bakul makanan serta bantuan lain terutamanya bekalan asas lain bagi membantu golongan memerlukan.

Bekas Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy bersama-sama cawangan MIC Alam Shah dan juga syarikat produk kecantikan, Skin Magic tampil membantu lebih 500 keluarga di sekitar Klang sejak awal bulan ini.

“Permintaan masyarakat setempat sebenarnya bukanlah peruntukan beratus-ratus atau beribu sebaliknya hanyalah sekadar beras, tepung, telur dan sebagainya, makanan asas untuk tampung kehidupan seharian mereka.

Bantuan diagihkan kepada penduduk yang memerlukan.

“Memang sungguh hiba sekali melihat  penderitaan dilalui oleh rata-rata rakyat kita, bukan sahaja kumpulan miskin tegar atau B40 sahaja sebaliknya ramai juga dalam kalangan M40 dan miskin bandar juga sedang berdepan dengan krisis ekonomi cukup getir pada masa ini,” katanya.

Mungkin bagi individu lain apalah sangat nilai beras sekampit, tin sardin atau gula sebungkus dengan biskut dan susu tetapi besar ertinya bagi golongan terdesak.

Itulah makanan untuk mereka sekeluarga untuk beberapa hari atau seminggu dua.

Mohana berkata, Covid-19 telah menyebabkan kehidupan segelintir rakyat kita begitu terhimpit dan sumbangan seperti ini sungguh besar nilainya buat mereka.

“Program Bantuan Bakul Makanan diumumkan perdana menteri dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bukan satu-satunya jalan bagi membantu rakyat yang terjejas akibat Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Sebaliknya rakyat, orang perseorangan, parti politik, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan juga boleh melakukan inisiatif sendiri membantu kerajaan dengan menyumbang dan bantu masyarakat setempat,” katanya.

Selain turun padang, Mohana berkata, beliau turut menerima panggilan rakyat untuk meminta bantuan jangka pendek.

Meskipun begitu, beliau berkata, sekarang  bukan masa untuk meraih publisiti sebaliknya untuk bantu dan salur sumbangan kepada yang memerlukan.

Selain bantuan barangan, pihaknya turut memberi sokongan emosi dan kaunseling.

Namun pelaksanaan PKP dan PKPD menyebabkan pergerakan agak terhad namun bantuan tetap disalurkan dengan mematuhi ketat SOP. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast