Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Pelan Pemulihan Negara (PPN) bersifat dinamik dan akan sentiasa ditambah baik berdasarkan situasi dan keperluan semasa, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau yang juga merupakan Menteri Penyelaras PPN berkata kerajaan bersedia malahan turut memberi komitmen untuk melibatkan pakar dalam menilai perjalanan pelan berkenaan seperti mana yang diputuskan dalam mesyuarat pertama jawatankuasa Khas Kabinet mengenai PPN (JKKPPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.

“Kita kena sentiasa agile (tangkas) dan bersedia untuk ubah perancangan yang dinamik dari segi pelan kita ini. Kita juga telah bersetuju dan akan melantik dan mendengar nasihat pakar dalam bidang masing-masing selain membuat kajian diperlukan dengan libat urus semua pihak berkepentingan.

“Yang pentingnya kita akan tambah baik strategi sedia ada berdasarkan situasi semasa,” katanya selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin Universiti Malaya, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata PPN bukan sekadar melibatkan pakej rangsangan sebaliknya ia mempunyai enam prinsip utama yang akan membantu ekonomi negara pulih seperti sedia kala.

Jelasnya, enam prinsip utama PPN ialah mengimbangi nyawa dan kehidupan, memberi kejelasan dan membina semula kepercayaan, mengkelaskan sains dan data, mengambil pendekatan seluruh masyarakat, memastikan pelan yang dinamik dan penyesuaian berterusan serta memberi asas kepada pemantauan prestasi PPN.

JKKPPN berfungsi memantau pelaksanaan strategi serta bantuan di bawah PPN bagi memastikan Malaysia mampu keluar darioada kemelut pandemik COVID-19 secara berfasa dan sistematik.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast