Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bercakap selepas menyerahkan bantuan kepada ahli kumpulan Caliph Buskers Fendy Adlun, di Bayu Sentul Kondminium, Kuala Lumpur. Foto Hafiz Sohaimi 10 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parimen kerajaan mahupun pembangkang diseru supaya mengutamakan hal-hal kebajikan dan kesihatan rakyat dalam Dewan Rakyat yang akan bersidang akhir bulan ini tanpa membangkitkan hal-hal politik yang boleh menggugat kestabilan kerajaan Perikatan Nasional, sekali gus  menggagalkan Pelan Pemulihan Negara (PPN)

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional,  Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sidang Parlimen haruslah memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat dan bukan isu-isu kepartian.

“Semua tahu kita perlukan Pilihan Raya Umum (PRU), tapi bukan sekarang .. kalau kita tukar perdana menteri sekarang atau jatuhkan PM melalui undi tak percaya dan sebagainya, kita akan mengundang kepada risiko PRU awal yang mengejut, yang mana suatu keadaan tidak baik untuk negara.

“Armada seru semua ahli Parlimen khususnya dari UMNO supaya ‘hold ur guns, sabar dan biar Pelan Pemulihan Negara diselesaikan..selepas itu kita cari masa untuk bubar Parlimen dan adakan PRU…sekarang tolonglah bantu kita selesaikan masalah Covid-19 dahulu, kasihan pada rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini selepas melawat Fendy Caliph Buskers di Taman Datuk Senu, Sentul di sini.

Beliau yang turut mengulas mengenai kenyataan Pakatan Harapan yang meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin mengundur segera berkata,  walaupun semua orang berhak mendesak perdana menteri letak jawatan, tetapi ia seharusnya diuji di Dewan Rakyat.

“Hanya dua sahaja cara mereka nak jatuhkan PM satu dengan cara mengusulkan undi tidak percaya di Parlimen dan keduanya dengan membuktikan kalian ada SD (akuan bersumpah) yang lebih dari PM.

“Sekarang ini ramai yang tahu Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai SD yang mencukupi, tidak ada siapa yang mempunyai SD mencukupi kecuali PM..jadi saya yakin kerajaan akan terus kekal dan tumpukan kepada PPN, kita tak mahu main politik lagi,” ujarnya.

Ditanya sejauh mana pihaknya yakin situasi semasa tidak akan menjejaskan PPN yang sedang dilaksakan kerajaan PN, beliau berkata,  lantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri yang akan mengetuai Kluster Keselamatan adalah ‘masterstroke’ daripada Muhyiddin bagi  memastikan  PPN tidak digagalkan oleh mana-mana pihak di luar sana.

Selain itu, PN mahu melihat pemimpin UMNO memainkan peranan yang berdominan  untuk menjayakan misi ini.

“Selama ini menteri UMNO yang jaga kesihatan Covid-19 (Datuk Seri Adham Baba), dan vaksinasi (Khairy Jamaluddin).. jadi UMNO sepatutnya bangga kerajaan ini diterajui oleh mereka dan kami tidak cemburu dalam soal ini.

“Sebaliknya berterima kasih kepada kepimpinan UMNO yang baik ini kerana mereka sangat mengutamakan (kebajikan) rakyat.

“Apabila ada pelantikan sebegini kita akan memastikan PPN tak akan digagalkan oleh mana mana pihak termasuk daripada Presiden UMNO sendiri,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast