Allahyarham Benjy.

KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) sedang berhubung rapat dengan pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Medan Indonesia dan Pihak Penjara Tanjung Gusta Medan untuk pengurusan jenazah pelakon, Benjy.

Setiausaha Agung SENIMAN, Mohd. Hafiz Mohd. Hafiah berkata, setakat ini, maklumat yang terima, arwah kini telah menjalani pelbagai prosedur di hospital namun disahkan tiada jangkitan Covid-19.

Jelas beliau, jenazah sudah dibawa ke RS Bhyangkara Brimob iaitu rumah sakit di bawah pihak berkuasa Indonesia.

“Segala urusan jenazah akan akan dilakukan disitu sebelum dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Tanjung Gusta Medan, Indonesia sebelum Zohor waktu tempatan.

“SENIMAN juga berhubung rapat dengan pihak keluarga arwah dan mereka bersetuju agar arwah dikebumikan di Medan, Indonesia disebabkan Benjy ada mewasiatkan supaya jika apa-apa berlaku kepadanya maka semadikan jenazahnya di sana.

“Pengurusan jenazah arwah Benjy akan diuruskan oleh pihak Konsulat General Malaysia dan pihak Penjara Tanjung Gusta dan segala kos akan ditanggung oleh pihak waris. Seniman akan cuba bantu mana-mana bahagian selagi kami mampu untuk memudahkan urusan arwah Benjy di Medan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seniman pernah melawat Benjy di Penjara Tanjung Gusta Medan pada 15 Disember 2018.

Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim yang juga anak seniwati, Allahyarham Azean Irdawaty meninggal dunia pada jam 11 pagi tadi di Hospital Royal Prima Medan Indonesia pada usia 43 tahun.

Arwah menghembuskan nafas terakhir selepas sesak nafas disebabkan masalah penyakit kronik asma dihadapi selama ini.

Untuk rekod, Benjy ditahan pihak Kastam Dan Eksais sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu Medan Indonesia pada 18 April 2017.

Dia kemudian didapati bersalah kerana memiliki 4.5 gram dadah jenis methamphetamine dan dikenakan hukuman penjara 11 tahun lapan bulan oleh mahkamah.

SENIMAN pernah melawat Benjy di Penjara Tanjung Gusta Medan pada 15 Disember 2018 yang menyaksikan buat kali pertamanya rakyat Malaysia datang melawatnya setelah hampir dua tahun menjalani hukuman penjara.

Pada April 2019, SENIMAN diwakilinya sekali lagi melawat Benjy dan menyampaikan sumbangan hasil daripada kutipan derma daripda Tabung Prihatin Seniman selain menyampaikan keperluan Hari Raya kepada beliau selain bantuan wang tunai.

“Seniman mengucapkan takziah kepada keluarga arwah Benjy, semoga tabah menghadapi ujian dan dugaan ini, sama-sama kita doakan agar segala urusan jenazah Benjy di Medan dipermudahkan oleh Allah,” kata Hafiz lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Benjy meninggal dunia di Medan