KUALA LUMPUR – Permohonan penginapan dan asrama pekerja kawasan perumahan adalah tidak dibenarkan terhadap unit-unit kediaman kategori kos rendah, Program Perumahan Rakyat (PPR) dan mampu milik.
Ia juga turut merangkumi kediaman berbentuk pangsapuri atau flat awam, kata satu kenyataan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini.
Justeru bagi menyelesaikan isu dan permasalahan semasa berkaitan penginapan pekerja khususnya pekerja asing), KPKT telah pun menyediakan Prosedur Permohonan Penginapan Pekerja Sementara Secara Jangka Pendek yang telah diluluskan oleh Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) pada 2 Mac lalu.
KPT menjawab kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan
Usahawan Selangor, Rodziah Ismail yang meminta KPKT menyediakan garis panduan untuk tidak membenarkan majikan menjadikan pangsapuri atau flat awam sebagai asrama pekerja asing.
Menurut kenyataan yang sama, pekeliling khas Ketua Setiausaha KPKT telah diedarkan kepada semua negeri pada 23 Mac lalu untuk tujuan diterimapakai dan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya di Semenanjung Malaysia bagi tempoh tiga tahun (2021 sehingga 2023).
Kerajaan Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2 Jun lalu juga telah bersetuju untuk menerima pakai sepenuhnya prosedur yang sama.
“Ini bermakna PBT perlu menguatkuasakan prosedur ini mulai dari tarikh prosedur ini diterimapakai dan bukannya akan dikuatkuasakan kepada permohonan baharu pada tahun hadapan seperti dakwaan YB Rodziah Ismail,” kata kenyataan yang sama.
Prosedur Permohonan Penginapan Pekerja Sementara Secara Jangka Pendek telah menyenaraikan enam alternatif bagi tujuan permohonan penginapan pekerja secara jangka pendek di premis sedia ada iaitu di penginapan pekerja di kawasan perumahan; asrama pekerja di kawasan perumahan; penginapan pekerja di unit rumah kedai; penginapan pekerja atau asrama pekerja di kedai pejabat atau plot perniagaan; penginapan pekerja atau asrama pekerja di premis perindustrian dan asrama pekerja di dalam tapak bina.
Dalam usaha memastikan pembangunan dan operasi penginapan pekerja yang lebih teratur, lengkap dan mampan, KPKT melalui PLANMalaysia telah menggubal Draf Garis Panduan Perancangan Penginapan Pekerja Berpusat yang meliputi cadangan penginapan di kawasan baharu dan kawasan premis terbiar dan terbengkalai iaitu bagi sebagai salah satu kaedah bagi penyelesaian jangka panjang.
Garis panduan berkenaan akan dibentangkan di Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) yang dijadualkan pada 13 Julai ini untuk tujuan pertimbangan dan mendapat maklum balas daripada kerajaan negeri.- MalaysiaGazette