Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga Indonesia berusia 36 tahun diselamatkan pada 9 Julai lalu daripada menjadi mangsa buruh paksa.

Operasi menyelamat dibuat berdasarkan aduan dan maklumat daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkata, hasil risikan membawa kepada operasi menyelamat mangsa yang diketuai ibu pejabat Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan JTK Perak dengan kerjasama pasukan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) serta pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dari IPD Daerah Taiping.

Menurut KSM, majikan wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah itu memanipulasinya dengan tidak menyediakan mempunyai permit kerja dan dokumen sah Pekerja Asing Tanpa Izin (PATI) untuknya.

Malah, wanita berkenaan juga pernah dipukul dengan tangan kerana majikannya tidak berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan.

“Majikan turut menjadikan isu PATI sebagai ugutan untuk memaksa mangsa melakukan pelbagai kerja rumah dengan tekanan fizikal dan mental,” kata kementerian itu menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu, wanita itu tidak diberikan makanan sekiranya menyuarakan hasrat untuk kembali ke negara asal.

“Malah, gaji mangsa kerap dibayar lewat dan pernah terjadi situasi di mana wang gaji yang telah diserahkan ke tangan mangsa diambil semula oleh majikan,” kata kenyataan yang sama.

Wanita itu pada mulanya masuk ke Malaysia melalui seorang ejen yang menjanjikan kerja pembantu rumah kepadanya dengan gaji sebanyak RM1,000.

Mangsa turut telah diminta untuk membayar sebanyak tiga bulan gaji sebagai bayaran perkhidmatan kepada ejen selepas mendapat pekerjaan.

“Bayaran tersebut telah selesai dibayar kepada ejen melalui potongan gaji mangsa pada Disember 2017, Januari 2018 dan Februari 2018,” kata KSM lagi.

Wanita itu kini masih dalam keadaan trauma selepas diselamatkan dan ditempatkan di Rumah Perlindungan Zon Tengah selepas diberikan Interim Protection Order (IPO) oleh Mahkamah Majistret Taiping.

Dalam pada itu, majikannya dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (AntiTrafficking in Persons and Anti-Smuggling of Migrants – ATIPSOM) 2007.

IPO sah untuk tempoh 21 hari iaitu sehingga 30 Julai 2021 bagi melengkapkan kertas siasatan di bawah Akta ATIPSOM 2007 yang dikendalikan oleh JTK.

Kertas siasatan akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi semakan dan membuat keputusan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast