Pekerja sedang menurunkan hasil laut yang baharu sahaja tiba untuk dimasukkan ke tong ikan di Jeti Bagan Pasir,Tanjung Karang, Selangor . Foto HAFIZ SOHAIMI, 11 JULAI 2021.

KUALA SELANGOR – “Minta tolong kepada kementerian yang berkenaan lepaskanlah nelayan macam kami ini, beri surat pelepasan kerana situasi sekarang benar-benar menyusahkan”.

Itu keluhan seorang nelayan, Amran Baba, 48, dari Kampung Assam Jawa di sini apabila sektor perikanan tidak dibenarkan beroperasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa mukim di negeri Selangor sejak 3 Julai lalu.

Menurut Amran, dia juga berhadapan dengan masalah untuk melakukan pergerakan rentas daerah kerana sampan miliknya di letakkan di kawasan Sungai Buloh yang dikenakan PKPD.

Amran Baba. Foto HAFIZ SOHAIMI, 11 JULAI 2021.

“Memang susahlah sebab saya tinggal di sini tapi sampan di Sungai Buloh, ada PKPD nak lintas sempadan pula ada sekatan jalan raya (SJR) ditambah pula dengan musim hujan sekarang, macam mana hendak tengok sampan.

“Jadi bertambah susah apabila kami ditahan tidak dibenarkan ke laut untuk cari makan. Duduk sahajalah di rumah tunggu bantuan sampai, itu pun kalau ada,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Pekerja sedang menurunkan hasil laut yang baharu sahaja tiba untuk dimasukkan ke tong ikan di Jeti Bagan Pasir,Tanjung Karang, Selangor . Foto HAFIZ SOHAIMI, 11 JULAI 2021.

Dalam pada itu, Amran khuatir sekiranya pelaksanaan PKPD  berlanjutan dalam satu tempoh yang lama sekali gus menjejaskan pendapatan hariannya.

Kata Amran, dia akan turun ke laut setiap hari untuk mencari rezeki sekiranya cuaca dalam keadaan baik.

“Jika cuaca cerah saya akan turun ke laut setiap hari dan itu pun kalau saya sihat kerana saya mempunyai penyakit gout. Ketika ini nak cari RM100 dalam sehari pun susah apatah lagi jika kami terus menerus tidak boleh beroperasi akibat sekatan yang berlaku,” ujarnya.

Omar Abdul Rahman. Foto HAFIZ SOHAIMI, 11 JULAI 2021.

Sementara itu, Pengerusi Nelayan Negeri Selangor, Omar Abdul Rahman turut melahirkan rasa tidak puas hati ke atas prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sewaktu pelaksanaan PKPD.

Dalam masa sama beliau turut mempersoalkan mengapa sektor perikanan yang begitu penting dalam rantaian makanan negara disekat daripada menjalankan operasi.

“Sebelum ini nelayan tidak pernah disekat tapi apabila adanya PKPD di beberapa buah mukim, mereka ini tidak dibenarkan untuk turun ke laut.

“Jadi ia merunsingkan mereka kerana nelayan ini semuanya merupakan golongan B40, apabila tidak turun ke laut apa akan jadi kepada mereka?

“Satu lagi, bila nelayan tidak dapat turun ke laut dan tiada tangkapan maka akan berlaku kekurangan bekalan, bila kekurangan bekalan akan jejaskan rakyat lain kerana nanti harga ikan akan melambung tinggi.

“Itu yang saya rayu kepada MKN dan MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) tolonglah beri kelonggaran,” katanya.

Mengulas lanjut, Omar berkata, tidak ada sebarang kluster Covid-19 membabitkan para nelayan sebelum ini berbanding penularan yang berlaku di kilang-kilang.

Menurut Omar, banyak aduan yang diterima daripada para nelayan di kawasan PKPD apabila mereka tidak dapat keluar untuk mencari rezeki seperti biasa.

Jelasnya, kawasan Pelabuhan Klang sehingga ke Sepang terdapat lebih 3,000 nelayan yang berdaftar manakala di kawasan Kuala Selangor sehingga Sabak Bernam membabitkan kira-kira 2,000 ahli.

“Kawasan PKPD ini di Jeram dan Ijok tetapi nelayan yang duduk di luar kawasan PKPD contohnya Kuala Selangor tapi perahu dia di Jeram, bila dia nak pergi ke laut dia akan melalui SJR tetapi selepas itu akan diminta untuk berpatah balik kerana tidak boleh masuk ke kawasan yang dikenakan PKPD.

“Situasi sama dihadapi oleh nelayan yang berada di kawasan Sepang sehingga ke Sungai Buloh yang turut sama dikenakan PKPD,” katanya.

Terdahulu pada 3 Julai, PKPD mula dilaksanakan di beberapa mukim di Selangor dan lokaliti tertentu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama 14 hari sehingga 16 Julai ini.

Mukim di Selangor yang dikenakan PKPD membabitkan daerah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Berdasarkan SOP PKPD di negeri Selangor yang dikeluarkan oleh MKN, tiada sektor membabitkan perikanan atau pun penternakan berada di bawah senarai perkhidmatan perlu. – MalaysiaGazette