Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita kerana terpaksa memutuskan untuk terus mengehadkan fungsi masjid-masjid dan surau di seluruh negeri berkenaan.

Baginda bertitah, keputusan diambil setelah meneliti dan memantau dengan terperinci data dan statistik penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di negeri itu.

Titah Sultan Sharafuddin, baginda memahami luahan hati rakyat dan rayuan umat Islam di media sosial serta menerusi surat yang menggesa agar masjid-masjid di Selangor kembali berfungsi sepenuhnya seperti sediakala.

“Beta sedih dan kecewa kerana terpaksa memutuskan untuk terus mengehadkan fungsi masjid-masjid dan surau di seluruh Selangor.

“Selain itu, beta juga bersedih dan dukacita apabila melihat peningkatan angka-angka kematian akibat wabak Covid-19 di seluruh pelusuk negeri,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini.

Sultan Sharafuddin menegaskan, masjid di Selangor tidak pernah ditutup sebaliknya hanya dihadkan kehadiran jemaah.

Titah baginda, kesan daripada penularan wabak Covid-19 adalah berbeza bagi setiap negeri, justeru perbandingan tidak boleh dibuat secara kasar.

Baginda menjelaskan apatah lagi, Selangor sehingga kini masih lagi merupakan negeri dengan catatan kes baharu dan kematian tertinggi sejak beberapa bulan lalu.

“Sehingga 9 Julai lalu, Selangor telah merekodkan sejumlah 1,933 kematian (28 kematian pada tarikh tersebut), dengan 4,400 kes jangkitan harian baharu.

“Apa yang lebih membimbangkan beta adalah data menunjukkan kematian di kalangan bangsa Melayu di Selangor mencecah 855 orang, iaitu lebih daripada separuh daripada jumlah 1,571 kematian pada akhir Jun lalu,” titahnya.

Baginda turut menzahirkan kekesalan meskipun pelaksanaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dikawal dan diperketatkan di masjid-masjid, namun penularan wabak berbahaya tersebut terus mengganas.

“Beberapa minggu sebelum bulan Ramadan lalu misalnya, apabila kelonggaran diberikan untuk aktiviti ibadat dilakukan di masjid-masjid, kadar jangkitan terus merebak sehingga mewujudkan beberapa kluster baharu di masjid dan surau di negeri ini.

“Beta sendiri tidak sanggup lagi untuk melihat visual-visual memilukan yang memaparkan kesedihan waris keluarga kerana tidak berkesempatan menziarah di hospital dan menghantar jenazah ke tanah perkuburan,” titahnya.

Berikutan itu, Sultan Sharafuddin bertitah walaupun berat hati sehingga hari ini namun baginda masih berpendirian bahawa aktiviti keagamaan di masjid dan surau mesti dihadkan khususnya solat berjemaah demi keselamatan seluruh umat Islam di negeri ini.

“Bagaimanapun, sekiranya jumlah kes jangkitan baharu terus menurun dan jumlah peratusan pemberian vaksin berbanding jumlah populasi terus meningkat, Insya-Allah, masjid dan surau akan kembali dibuka seperti biasa,” titahnya. – MalaysiaGazette