Mansor (tengah) didakwa berkaitan rasuah bernilai lebih RM11 juta di Mahkamah Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH – Pengerusi sebuah koperasi hartanah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 106 pertuduhan berkaitan rasuah bernilai lebih RM11 juta.

Bagaimanapun, tertuduh, Datuk Mansor Musa, 58, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Mengikut 42 pertuduhan, Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru itu didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang dan harta milik syarikat yang merupakan hasil kepada suatu aktiviti haram.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung sejak 2004 hingga 2008 itu didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali.

Sementara itu, bagi 64 pertuduhan lagi, dia didakwa menerima wang dan harta daripada syarikat yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM5 juta mana-mana lebih tinggi.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di antara September 2011 hingga Ogos 2020 dengan membabitkan nilai lebih RM11 juta.

Kes dikendalikan pasukan pendakwaan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Faridz Gohim Abdullah bersama Muhamad Asraf Mohamed Tahir dan Muhamad Azlan Basri.

Tertuduh diwakili peguam Kek Boon Wei dan Hellen Ng.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 beserta seorang penjamin.

Kes akan disebut semula pada 28 September ini.

Difahamkan pertuduhan tersebut merupakan sebahagian daripada 160 pertuduhan yang akan dihadapinya.

Tertuduh dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur minggu ini bagi berdepan 54 lagi pertuduhan. – MalaysiaGazette