KUALA LUMPUR – Semua pekerja sektor pembuatan yang dibenarkan beroperasi dalam di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Selangor diwajibkan menjalani ujian saringan RTK sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu bermula 7 Julai lalu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah awal ini dilihat mampu mengenal pasti kes jangkitan Covid-19 dengan lebih awal, selain dapat memastikan hanya pekerja yang disahkan negatif dibenarkan untuk ke tempat kerja.
Pihak majikan perlu memberikan kerjasama dan tanggungjawab bagi menanggung sepenuhnya kos saringan tersebut.
”Saya menyeru buat semua majikan agar tidak mengambil kesempatan di atas peluang yang telah diberikan oleh pihak kementerian. Perkara ini amat dikesali kerana ramai yang tidak patuh dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta memandang ringan tentang perkara ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Apa yang pasti, langkah penjagaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat perlu seiring dengan tindakan secara praktikal bagi membendung penularan jangkitan Covid-19 dari terus merebak terutama di tempat kerja. – MalaysiaGazette