Petugas sukarelawan QueueMed yang merupakan anggota kru kabin pesawat penerbangan dalam negara memeriksa borang para penerima suntikan vaksin COVID-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IDCC Seksyen 15, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 14 JUN 202

KUALA LUMPUR – Seramai 204 petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam dijangkiti Covid-19 selepas ujian saringan beramai-ramai dibuat ke atas kesemua petugas di situ pada 10 Julai lalu.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, jumlah itu diperolehi selepas satu saringan Covid-19 dibuat secara besar-besaran ke atas semua 453 petugas di PPV berkenaan.

“Ujian ini telah dijalankan pada 10 Julai 2021 melibatkan kesemua petugas. Susulan langkah ini, sebanyak 204 petugas telah didapati positif.

“Keputusan RT-PCR telah menunjukkan kesemua yang positif mempunyai Ct lebih daripada 35, yang mana mereka mempunyai load virus yang rendah,” katanya dalam sidang media berkaitan penutupan PPV itu, hari ini.

Pagi tadi, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memaklumkan, langkah segera penutupan itu terpaksa diambil hasil daripada keputusan ujian Covid-19 yang diperoleh malam tadi.

Ini membolehkan kerja-kerja sanitasi dijalankan.

Untuk rekod, sejumlah 88 peratus atau 400 orang petugas di PPV IDCC telah divaksinkan manalaka 12 peratus atau 153 lagi petugas masih belum menerima suntikan vaksin.

Menurut Khairy, PPV itu akan dibuka semula esok selepas kerja-kerja sanitasi dijalankan oleh Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Justeru itu, semua penerima vaksin di PPV tersebut akan mendapat satu tarikh baharu untuk janji temu masing-masing.

“Mereka yang mempunyai janji temu hari ini telah dimaklumkan tentang penutupan PPV ini menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) dan media sosial. Kesemua mereka sudah pun mendapat tarikh baharu janji temu.

“Pada masa sama, kita turut mengarahkan petugas CITF ke IDCC untuk memaklumkan kepada orang ramai yang tidak menyedari tentang penutupan PPV ini,” tambah beliau.

Tambah Khairy, CITF juga akan mengasingkan petugas IDCC dan menggantikan dengan kakitangan baharu.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) juga telah diarahkan untuk melakukan pemantauan kualiti pengudaraan di PPV IDCC.

Dalam pada itu, semua PPV di seluruh negara telah diarahkan untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan tanpa sebarang kompromi.

“Saya telah meminta semua PPV lain, sekiranya mengalami masalah, terutamanya mengenai kesesakan untuk serta-merta memaklumkan kepada CITF pusat agar kami dapat membantu dengan segera,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Khairy sekali lagi meminta penerima-penerima vaksin di PPV IDCC pada 9 Julai lalu untuk terus memantau sebarang gejala berkaitan Covid-19 selama 10 hari. – MalaysiaGazette