Foto Kredit: Facebook Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR – ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) perlu menumpukan usaha untuk memacu semula ekonomi dan memulihkan kerosakan disebabkan COVID-19, kata Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Berucap pada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN-AS yang diadakan secara maya pada Rabu, Hishammuddin berkata kedua-dua pihak mesti menggunakan peluang yang ada untuk mengukuhkan lagi kerjasama, ketika ini dagangan dua hala AS dan negara ASEAN berjumlah lebih US$260 bilion.

“Malaysia juga satu daripada lima pembekal import negara ASEAN untuk AS dengan nilai US$39.4 bilion. Ia satu angka yang besar dan penting bagi kedua-dua pihak terus komited memelihara dan mengekalkan keterhubungan dan keterbukaan rantaian bekalan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mesyuarat itu turut disertai Setiausaha Negara AS Antony Blinken.

Hishammuddin berkata, ASEAN-AS perlu menyedari hakikat bahawa jutaan nyawa bergantung kepada dagangan tanpa halangan dan kedua-dua pihak perlu bekerjasama erat untuk mengenal pasti serta mengatasi sebarang gangguan perdagangan, terutama yang merumitkan aliran keperluan.

Malaysia juga berharap AS menyokong usaha ASEAN menangani masalah kesihatan mental yang menjadi fokus utama dalam mengatasi kesan sosioekonomi akibat pandemik.

Hishammuddin menyatakan sebagai negara penyelaras, Malaysia bekerjasama rapat dengan Australia dan Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN 2021 dalam hal itu, yang menjadi keutamaan kepimpinan Brunei tahun ini.

“Kami telah menyuarakan kesediaan menjadi penaja bersama Pernyataan Pemimpin mengenai Kesihatan Mental pada Sidang Kemuncak Asia Timur ke-16 dan berharap AS menyokong pernyataan itu,” tambahnya.

Ujarnya ASEAN dan AS juga boleh mengeratkan lagi kerjasama dalam bidang lain termasuk keselamatan siber, pembangunan digital dan jenayah rentas sempadan.

Di pihak Kementerian Luar Malaysia dalam menangani kebimbangan dicetuskan pandemik COVID-19, Hishammuddin berkata kementeriannya sedang meneliti empat faktor; Amalan terbaik ‘pemutus litar’ dari negara lain untuk membantu memberi nasihat kepada pihak berkuasa kesihatan, kedua mendapatkan kepakaran dan kemampuan ujian untuk mengukuhkan lagi infrastruktur ujian sedia ada, dan ketiga memanfaatkan hubungan dengan rakan pengeluar dan/atau pengeksport vaksin bagi meningkatkan bekalan vaksin.

“Keempat, tidak kurang pentingnya adalah pengiktirafan bersama sijil vaksinasi untuk memudahkan perjalanan rentas sempadan pada masa akan datang,” tambah Hishammuddin.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast