LONDON – AS ROMA mengikat penjaga gol Wolves, Rui Patricio dengan jumlah bayaran yang tidak didedahkan.
Kelab Liga Perdana Inggeris mengesahkan perpindahan itu dengan kelab Serie A itu dikatakan berbelanja £9.8 juta (RM48.5juta).
Patricio, 33, menjadi pemain pertama yang diikat Jose Mourinho sejak bekas pengendali Tottenham Hotspur itu dilantik sebagai jurulatih Roma pada Mei lalu.
Menerusi laman web rasmi Roma, Patricio berkata, Roma adalah kelab yang besar dan cabaran baru.
“Saya teruja untuk mencuba dan membantu kelab mencapai sasaran.
“Mengenai Jose Mourinho, kami bercakap mengenai satu daripada jurulatih terbaik di dunia dan saya sangat teruja untuk bekerjasama dengannya,” katanya.
Patricio menyertai Wolves pada 2018 selepas meminta untuk meninggalkan Sporting berikutan serangan di tempat latihan kelab Lisbon oleh peminat.
Penjaga gol berpengalaman itu membuat lebih 135 penampilan di Wolves dengan aksi 37 perlawanan tanpa bolos dan membantu mereka layak ke saingan Europe di bawah kendalian Nuno Espirito Santo. – MalaysiaGazette