Bendera putih mendidik sifat keprihatinan dan kepedulian masyarakat tanpa mengira latar belakang dan keturunan.

KUALA LUMPUR – Rakyat tidak perlu mengibarkan bendera putih kerana kerajaan prihatin memberikan sebaik-baik perhatian untuk membantu mereka, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kerajaan tidak berkompromi dalam soal pengurusan kebajikan rakyat selagi pandemik Covid-19 belum dapat diatasi dan soal ekonomi belum pulih.

“Saya cukup prihatin dan rasa agak bertanggungjawab untuk menentukan kesejahteraan rakyat di negara kita tak kira apa latar belakang mereka, di mana mereka berada, mestilah kita laksanakan dan kita berikan sebaik-baik perhatian untuk membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau penyediaan bakul makanan di bawah program Bakul Prihatin Negara, yang melibatkan pengagihan 420,000 bakul bantuan barangan keperluan kepada 1.68 juta penerima yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, bantuan diberi kepada semua yang layak  terdiri daripada golongan B40, M40 malah T20 juga yang terkesan akibat pandemik tersebut.

PM Muhyiddin lancar Program Bakul Prihatin Negara

“Kita tak kira. Kadang-kadang T20 pun ada yang terkesan kerana dia tak boleh berniaga, dia diberhentikan kerja, semua ini kita sampaikan bantuan.

“Tak payah naik bendera putih ke hitam. Nak naik bendera biru tak apa. Maksud saya tadi, kita tahu di mana (mereka yang perlukan bantuan) dan kementerian ada rekod,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, beliau dimaklumkan bahawa setiap penerima yang telah menerima bantuan akan direkodkan dan jika dilihat kepada maklumat yang diterima mungkin dapur penerima sudah penuh dengan barangan bantuan. – MalaysiaGazette