Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa hadir melawat bilik untuk membantu warga Wilayah Persekutuan yang terkesan akibat Covid-19 khususnya kepada golongan miskin bandar ketika melancarkan Rumah Prihatin di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 15 JULAI 2021

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa tidak menolak kemungkinan untuk membuka semula ibu kota selepas imuniti kelompok mencapai 80 peratus.

Menurut beliau, pihaknya sedang menggembeling tenaga dengan memanggil Ahli-ahli Parlimen di Kuala Lumpur untuk menyumbang idea ke arah membolehkan ibu kota dibuka semula.

“Esok saya nak bincang bagaimana kalau KL ini kita buka nanti dengan SOP yang baharu setelah kita capai imuniti kelompok, kita sudah menghampiri 80 peratus untuk dua dos. Kita yakin pada bulan Ogos kita boleh capai, jadi kalau kita sudah capai dua dos pada awal Ogos saya berpandangan kita kena hidup dengan Covid-19.

“Kita kena mula buka kegiatan di KL, jadi saya perlu dapatkan pandangan daripada wakil rakyat KL bagaimana caranya ini boleh kita lakukan dan langkah pemerkasaan masyarakat,” katanya selepas melancarkan Rumah Prihatin di Hotel Grand Season, hari ini.

Katanya, satu sidang terbuka akan dijalankan pihaknya yang akan mengundang pelbagai pihak antaranya Ahli Parlimen pembangkang dan Ahli Dewan Negara bagi membincangkan perancangan ke arah mencapai imuniti kelompok.

Malah katanya, sesi itu juga akan turut membincangkan idea untuk membuka aktiviti perniagaan dan pergerakan di ibu kota.

“Katakanlah kita buka restoran dah boleh dine-in seminggu dua lagi, kita nak ada kesedaran dalam masyarakat untuk mempertingkatkan kepatuhan kepada SOP.

“Sebagai satu daripada gaya hidup di mana kita hidup dengan Covid-19 tapi sebelum ini kita kena pastikan warga KL semua sekali miskin kaya, peminta sedekah, gelandangan mesti diberikan vaksinasi,’ katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata, Rumah Prihatin di Hotel Grand Season akan mula beroperasi hari ini.

Jelasnya, Rumah Prihatin ini merangkumi enam komponen iaitu Dapur Prihatin, Food Bank, Bilik Penginapan Prihatin, Khidmat Kesihatan Mental Prihatin, Khidmat Vaksinasi Prihatin, dan Pusat Gerakan Jejak Prihatin.

“Kriteria untuk mereka menggunakan Rumah Prihatin adalah mereka yang tidak mampu kerana konsep dia bayar sekadar mampu sahaha.

“Tapi pada masa yang sama masyarakat jangan ambil kesempatan, contohnya ibubapa dia positif Covid-19 dan nak menunggu keputusan, jadi dia terdesak untuk menginap satu malam, maka kita benarkan.

“Musafir dan mereka yang tiba-tiba tidak ada tempat tinggal, petugas barisan hadapan juga kita benarkan dengan tidak semestinya satu malam,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata, konsep sama akan turut diperluaskan ke wilayah-wilayah lain di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Saya sedang fikirkan konsep sama untuk dibuat di Wilayah Persekutuan Labuan. Ini tidak mudah kerana kalau kita nak berdasarkan bajet untuk mendapatkan 300 bilik untuk tujuaan kebajikan, kita tidak akan dapat.

“Saya anggap ini sebagai satu rahmat Allah dan saya ucap terima kasih,” katanya lagi.

Untuk rekod, Rumah Prihatin adalah premis yang berkonsepkan hotel kebajikan dengan menjalankan kegiatan sukarela berkaitan perkhidmatan pengawalan penularan wabak tersebut.

Ia merupakan satu platform untuk menghimpunkan, mengkoordinasi dan merawat mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang dilaksanakan secara bersama dengan sokongan sukarelawan, persatuan, organisasi korporat dan NGO. – MalaysiaGazette