KUALA LUMPUR – Polis Kota Bharu mengesahkan menerima laporan polis dari seorang buruh yang dibelasah sekumpulan lelaki dan wanita yang menaiki kereta Perodua Alza di Kubang Kerian, Kelantan.
Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, video pergaduhan berdurasi tiga minit 38 saat yang tular dalam media sosial sejak Selasa lalu.
Katanya, video itu memaparkan seorang lelaki dipukul oleh sekumpulan lelaki dan wanita.
Jelas Abdul Rahim, mangsa telah didatangi oleh seorang lelaki dan tiga wanita tempatan yang menaiki Perodua Alza ketika berjalan bersendirian pulang dari tempat kerja.
“Kejadian dikatakan bermula apabila pemandu motokar telah memberhentikan kenderaan berhampiran mangsa dan mengejek mangsa sehingga berlaku pertengkaran di antara kedua belah pihak yang membawa kepada pergaduhan.
“Pihak Polis telah menerima laporan berkaitan pada Rabu daripada mangsa dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama, Abdul Rahim menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri ke atas sesuatu perkara yang berlaku kerana ia menyalahi undang-undang.
Tambah beliau, perkara tersebut seharusnya perlu diselesaikan mengikut lunas undang-undang.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang berusia 30 tahun itu berjalan pulang dari tempat kerjanya sebelum dihampiri Perodua Alza di Jalan Pasir Tumboh, Kota Bharu.
Abdul Rahim berkata, pemandu lelaki kenderaan itu bersama tiga wanita berkenaan membunyikan hon kerana mendakwa mengenali mangsa lalu berhenti di situ.
Sejurus selepas itu berlaku pertengkaran dan ejek-mengejek antara kedua belah pihak dan kereta Alza itu ditendang mangsa seperti tular dalam video berkenaan, ujarnya.
Tambah beliau, mangsa mengalami bengkak dan lebam di bahagian muka serta badan.
Ujarnya, polis telah mempergiatkan usaha untuk mengesan saksi serta mereka yang terbabit dalam insiden itu untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette