KUALA LUMPUR – Kerajaan harus mencari langkah yang lebih relevan dan tepat untuk menilai keadaan COVID-19 tempatan dan bukan hanya bergantung pada jumlah jangkitan harian yang dicatatkan untuk menentukan kawalan pergerakan, kata Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).
Presidennya Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, rakyat Malaysia tidak boleh terus hidup dalam ketakutan terhadap COVID-19 dan kekal dalam keadaan kawalan pergerakan yang berpanjangan kerana perniagaan dan rakyat tidak lagi mampu bertahan.
“Langkah kawalan pergerakan ini turut memberi kesan mengerikan terhadap kesihatan mental sebahagian besar rakyat Malaysia dengan kes bunuh diri, jenayah, keganasan rumah tangga, kemurungan dan kehilangan tempat tinggal meningkat dengan ketara.
“Situasi yang menekankan ini perlu berubah dan diperbetulkan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syed Hussain menegaskan kedua-dua majikan dan rakyat memainkan peranan penting dalam mempercepat Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke arah keadaan ‘normal baru’ dengan menerapkan dan mematuhi langkah-langkah keselamatan di tempat kerja.
“Banyak negara yang terkena varian Delta yang diserap melalui udara telah menerima COVID-19 sebagai endemik dan jika semua pihak berkepentingan menyedari ini dan bekerjasama, itu akan memberikan kebaikan dan kesejahteraan kepada semua rakyat Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette