Muhamad Shukri menunjukkan laporan polis yang dibuatnya susulan diancam ahlong.

SEBERANG PERAI – Pemangku pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Seberang Perai Tengah diancam ahlong selepas nama dan data peribadinya dipercayai digunakan individu tidak bertanggungjawab untuk membuat pinjaman dengan lintah darat tersebut.

Muhamad Shukri Zakir berkata, gangguan ahlong itu bermula sejak dia menerima kiriman pesanan ringkas (SMS) daripada lelaki yang mendakwa dirinya meminjam wang berjumlah RM600 pada Jumaat lalu.

Katanya, dia yang tidak pernah membuat pinjaman daripada mana-mana ceti haram bagaimanapun mengabaikan mesej itu sebelum menerima panggilan daripada isteri, ahli keluarga serta rakan bahawa mereka turut menerima mesej mendakwa dirinya gagal melangsaikan hutang ahlong.

“Mereka tidak berhenti mengganggu saya dengan menyebarkan mesej kepada kenalan saya menerusi aplikasi WhatsApp dengan mengaib serta memfitnah diri saya.

Antara mesej yang diterima ahli keluarga Muhamad Shukri daripada ahlong.

.

“Selain meminta saya menjelaskan pinjaman berjumlah RM600 itu, mereka turut mendakwa saya merupakan ‘scammer’ dengan memberikan gambar kad pengenalan untuk orang ramai berhati-hati,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Muhamad Shukri, bimbang dirinya terancam dia membuat laporan polis di Balai Polis Seberang Jaya pada hari sama menerima ugutan.

“Mungkin ada individu tidak bertanggungjawab menjual data peribadi saya kepada along bagi membuat pinjaman jadi saya harap pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung kes itu agar orang lain tidak menjadi mangsa seperti saya,” ujar Muhamad Shukri. – MalaysiaGazette