Petugas kesihatan SelCare melakukan ujian saringan Covid-19 kepada orang awam di Dewan Komuniti Kampung Lindungan, Petaling Jaya. Foto SHAFIY ZUL, 21 FEBRUARI 2021.

KOTA BHARU – Individu yang mendapat kebenaran polis untuk masuk ke Kelantan  wajib membuat ujian calitan COVID-19 dalam tempoh 72 jam di tempat asal sebelum memulakan perjalanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, arahan itu telah berkuat kuasa mulai semalam.

“Keputusan ujian saringan perlu disertakan semasa membuat permohonan rentas negeri di balai polis, namun kebenaran ini hanya untuk hal kecemasan kerana ketika ini, pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Rabu lepas, media melaporkan kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara supaya individu yang ingin memasuki Kelantan diwajibkan mengemukakan keputusan ujian calitan sebagai antara usaha membendung penularan jangkitan COVID-19 di negeri itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, petugas kesihatan akan turut ditempatkan di pintu sempadan negeri bagi melakukan ujian calitan COVID-19 kepada individu yang tidak sempat melakukan ujian itu sebelum melakukan perjalanan ke negeri berkenaan.

“Mereka ini sudah diberi kebenaran rentas negeri kerana hal kecemasan namun tidak sempat membuat ujian calitan COVID-19.

“Kita akan buat Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag), individu yang terlibat perlu menunggu keputusan dalam tempoh kira-kira setengah jam,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast