Orang ramai beratur panjang untuk membuat permohonan rentas negeri dan daerah di IPD Kuantan.

KUANTAN – Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan hari ini dibanjiri orang ramai yang mahu memohon kebenaran rentas negeri dan daerah, masing-masing dengan alasan tersendiri.

Kira-kira 200 orang dilihat beratur panjang sejak pagi menjelang dua hari lagi sambutan AidilAdha walaupun kerajaan telah mengumumkan tiada kebenaran rentas daerah atau negeri diberikan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohammad Noor Yusof Ali ketika memberi peringatan berkata, hanya alasan yang benar-benar munasabah akan dberi kelulusan pergerakan.

Katanya, alasan seperti keluarga sakit juga tidak akan dibenarkan kecuali mereka benar-benar dalam keadaan kritikal dan mesti disertakan dengan bukti.

Begitu juga dengan alasan pulang ke kampung menghantar ibu bapa untuk vaksinasi sedangkan masih ada orang lain yang boleh menguruskan proses tersebut.

Setakat ini, katanya, garis panduan kebenaran pergerakan rentas daerah dan negeri masih lagi berpegang kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara iaitu perkhidmatan essential, petugas keselamatan dan kesihatan.

“Kuantan telah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) lebih dua bulan dan tempoh yang lama ini bukan untuk menyusahkan tetapi ia disebabkan kesilapan dan kecuaian kita wabak ini merebak.

“Oleh itu berdasarkan amanah diberikan kepada saya, kita bersama-sama bertanggungjawab membendung penularan ini dan sebagai OCPD saya berperanan menyampaikan mesej ini,” katanya.

Mohammad Nor berkata demikian di hadapan orang ramai yang menunggu giliran untuk mengemukakan permohonan rentas daerah dan negeri di perkarangan bangunan IPD Kuantan di sini.

Sementara itu tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata yang datang mengemukakan alasan kecemasan yang melibatkan kesihatan untuk mendapatkan kebenaran rentas negeri dan daerah. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan