Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Cadangan penambahbaikan pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) serta pelaksanaan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak akan mengganggu operasi TH dan urusan pendepositnya.

TH dalam satu kenyataan memaklumkan operasi harian TH akan berjalan seperti biasa.

“Cadangan penambahbaikan pengurusan dan operasi TH yang merangkumi kajian oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) mahupun pelaksanaan RCI, tidak akan mengganggu urusan harian pendeposit, mahupun urusan berkenaan operasi TH,” menurut kenyataan itu.

TH memaklumkan jumlah deposit setakat ini ialah hampir RM82 bilion, tertinggi sejak penubuhannya pada 1963 sekali gus menggambarkan keyakinan dan kepercayaan rakyat serta pendeposit terhadap TH.

“TH kini berada pada landasan yang baik dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh dan stabil. TH juga sedang dan sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik kepada pendeposit, dan lebih 80 peratus transaksi kewangan dilakukan secara dalam talian,” kata TH.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menter,i Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kabinet bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi TH di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Sementara itu, TH turut memberi jaminan kepada 8.3 juta pendepositnya bahawa hak mutlak pengurusan dan operasi haji terus kekal bersama TH dan jaminan kerajaan ke atas deposit di bawah Seksyen 24 Akta Tabung Haji 1995 terus kekal.

Turut dijamin penglibatan TH dalam sektor ekonomi berdasarkan tadbir urus, pengurusan dan operasi yang utuh dan TH akan terus membuat penambahbaikan dari segi tadbir urus, pengurusan, operasi dan pelaburan untuk kepentingan para pendeposit.

“TH terus kekal relevan melalui usaha-usaha dan inisiatif-inisiatif ini dan akan bekerjasama serta terlibat dalam kajian Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan BNM demi kepentingan para pendeposit dan TH sendiri,” menurut kenyataan itu.

Tambah TH lagi, kerajaan telah mencadangkan penambahbaikan pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh dan ia akan melibatkan cadangan dasar model baharu operasi dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995.

Cadangan model baharu operasi TH itu akan diteliti secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, BNM dan TH sendiri.

Sementara itu TH turut menyarankan agar kajian menyeluruh oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, BNM dan TH perlu dibuat untuk menilai model operasi baharu yang dicadangkan, di samping mengambil kira kapasiti sedia ada termasuk aset, liabiliti, kepakaran sumber manusia dan lain-lain.

“Aspek tadbir urus, integriti dan reputasi TH sebagai institusi simpanan kewangan Islam amat penting bagi memastikan keyakinan dan kepentingan orang ramai terjamin khususnya para pendeposit,” menurut TH. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast