KUALA LUMPUR – Tertanya-tanya kenapa sering menerima panggilan penipuan yang menyamar sebagai dari bank atau pihak berkuasa? Adakah maklumat peribadi kita telah dijual oleh “orang dalam” kepada pihak tidak bertanggungjawab?
Superintendan Leow Kian Heong dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berkata, keadaan itu tidak membabitkan “orang dalam”, tetapi maklumat peribadi mangsa sering kali diperolehi selepas satu-satu sistem digodam.
Katanya kepada China Press, sindiket penipuan akan mencuba nasib dengan membuat panggilan secara pukal, mereka malahan menggunakan teknik tertentu supaya nombor telefon balai polis dan Bank Negara dapat dipaparkan pada skrin telefon mangsa.
Sementara itu, Pegawai Penyiasat Kanan, Jenayah Telekomunikasi, JSJK Bukit Aman, DSP Nur Asrul Ariff berkata, walaupun ramai mangsa penipuan telefon mendakwa mereka telah dipukau, tetapi keadaan itu adalah tidak berasas.
Beliau berkata, hakikatnya, mangsa tertipu kerana berasa bimbang dan takut dengan pelbagai senario yang dihasilkan penipu.
“Apabila seseorang menjadi bimbang, dia akan memberi semua maklumat peribadi kepada penipu, malahan memindahkan semua duit dalam bank ke akaun lain,” katanya kepada China Press.
Katanya, keadaan bertambah mengelirukan buat mangsa apabila mereka diminta memuat turun aplikasi tertentu yang menyerupai aplikasi Bank Negara atau laman sesawang Bank Negara.
Menurutnya, penipuan telefon merupakan cara yang paling lazim digunakan.
Tambahnya, kebanyakan mangsa adalah mereka yang berumur 40 tahun ke atas yang mempunyai simpanan tertentu.
“Selain mempunyai simpanan, golongan ini mungkin juga kurang menggunakan media sosial atau kurang prihatin dengan isu semasa sehingga mereka kurang sedar akan kes-kes penipuan yang berlaku,” katanya. – MalaysiaGazette