Pihak polis menahan tiga lelaki bawa heroin ketika melakukan pemeriksaan di SJR Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini semalam.

GEORGE TOWN – Guna lori penghantaran kelapa untuk membawa masuk bekalan dadah jenis heroin bagi diedarkan di Pulau Pinang.

Bagaimanapun taktik sekumpulan lelaki yang bekerja sebagai pemandu dan kelindan lori sejak April lalu itu berjaya dibongkar polis semalam.

Kegiatan mereka terbongkar selepas anggota polis memeriksa sebuah lori membawa muatan kelapa yang melalui sekatan jalan raya (SJR) di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu menghala Seberang Perai pada jam 10.05 pagi.

 

Pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Faizul Fazri Padok (kanan) menujukkan heroin bernilai RM265,000 yang dirampas pihaknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 53 bungkus dadah jenis heroin seberat 23.85 kilogram bernilai RM265,000 di dalam kabin lori tersebut.

Jelas beliau, susulan itu polis menahan pemandu lori dan dua kelindannya yang berusia lingkungan 26 hingga 32 tahun.

Mustafa Kamal.

“Bertindak atas maklumat dan risikan kita menahan seorang lagi pemandu lori berusia 35 tahun yang juga ketua sindiket tersebut di Rungkup, Perak.

“Hasil soal siasat mendapati sindiket ini aktif sejak April lalu dan membawa bekalan heroin untuk diedarkan di Pulau Pinang.

“Bagi mengaburi mata pihak polis mereka membawa dadah menggunakan lori penghantaran kelapa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Lori yang digunakan sindiket berkenaan turut disita.

Tambah beliau, hasil semakan mendapati kesemua empat suspek itu sudah berkahwin dan dua daripada mereka iaitu kelindan lori positif dadah.

“Semakan juga mendapati tiga tangkapan pertama itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Faizul Fazri Padok menunjukkan antara tempat dadah jenis heroin itu disembunyikan suspek dalam lori muatan kelapa.

“Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dadah yang dirampas boleh digunakan 120,000 penagih,” kata Mustafa Kamal. – MalaysiaGazette