KUALA LUMPUR – Gerakan Rakyat Pahang Bersatu (GERAP1) menegur Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon agar berhenti segera melakukan apa-apa perkara yang jelas menyebelahi penceroboh tanah hutan simpan kekal dan membelakangkan kedaulatan undang-undang.
Presidennya, Mohd Fazreen Ali mendakwa tindakan Sin Woon yang cuba berunding mengikut ‘pintu belakang’ dilihat sengaja mencabar undang-undang dan sangat bermotif politik.
Menurutnya, walaupun banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu telah memberi peringatan kepada Sin Woon dan MCA agar tidak campur tangan dan menghormati undang-undang, beliau tetap berdegil dan cuba menggunakan pintu belakang untuk menyelesaikan perkara ni.
Mujurlah kewibawaan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy bin Wan Ismail dan kerajaan negeri Pahang yang memainkan peranan besar dalam isu ini dapat terus memartabatkan undang-undang.
”GERAP1 sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada YAB Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang atas kewibawaan yang ditunjukkan dan menasihat agar mana-mana individu, pertabuhan, atau parti politik terutamanya dari luar negeri Pahang terus menghormati keputusan kerajaan negeri dan tidak melakukan tindakan-tindakan yang boleh mengancam keharmonian negara,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd Fazreen yakin menteri besar sangat serius dalam menangani isu tanah haram ini mengikut perundangan dan prosedur yang betul.
Walaupun terdapat percubaan daripada wakil MCA melalui Sin Woon untuk cuba berunding bagi pihak peneroka haram, Wan Rosdy bertindak profesional dengan meminta peneroka haram untuk memohon menngikut prosedur yang sepatutnya iaitu dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.
”Komitmen yang ditujukkan oleh beliau benar-benar membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pahang benar-benar serius dalam menyelesaikan isu penerokaan tanah haram ini dan bukan retorik politik semata-mata.
”Ini bukan sahaja tepat dari sudut perundangan, malah menggambarkan ketegasan dan iltizam Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dalam memastikan hutan simpan kekal Negeri Pahang tidak dicabuli oleh golongan yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya. – MalaysiaGazette