Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani Foto SYAFIQ AMBAK, 31 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan supaya mematuhi peraturan kesihatan yang ditetapkan kerajaan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, peningkatan kes baharu Covid-19 sejak kebelakangan ini menuntut pengorbanan tertinggi seluruh rakyat Malaysia.

“Kita perlu terus bersatu hati serta mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) dan protokol kesihatan yang dikeluarkan oleh kerajaan, demi mengawal penularan wabak maut tersebut,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Aidiladha.

Berikutan itu, jarnya, dalam mendepani krisis ancaman pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir, kehadiran Aidiladha perlu disambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan.

Menurut Acryl Sani, bagi umat Islam, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail menunaikan perintah Allah SWT seharusnya dijadikan sebagai iktibar untuk terus tabah menempuh ujian kehidupan dalam mencari keredaan-Nya.

Sementara itu, Acryl Sani menyeru warga polis agar sentiasa menjunjung amanah yang diberikan demi agama, bangsa dan negara.

Tambah beliau, sempena sambutan Aidiladha ini, seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bersama-sama mencari keredaan-Nya dengan menjunjung amanah dalam jalan jihad.

“Semoga pengorbanan yang kita curahkan dengan penuh kecintaan, kesungguhan dan keikhlasan ini diterima sebagai ibadah dan diberikan ganjaran yang setimpal serta kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast