Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 37 badan bukan kerajaan menggantung keputusan Jemaah Menteri yang memutuskan untuk menetapkan Tabung Haji sebagai sebuah institusi kewangan Islam di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI) dengan segera.

Dalam kenyataan di bawah Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process, mereka melahirkan rasa dukacita kerana keputusan untuk mengawal selia Tabung Haji seperti bank-bank Islam lain telah dibuat dengan tergesa-gesa tanpa konsultasi awam.

Menurut mereka, keputusan itu seolah-olah tidak peka bagaimana ia boleh mengubah konsep model perniagaan yang diilhamkan oleh pengasas Lembaga Tabung Haji (TH), sekali gus menafikan peranan TH dalam memperkasa serta membangun ekonomi Muslim.

”Keputusan Jemaah Menteri juga dilihat bercanggah dengan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) oleh Jemaah Menteri sendiri yang diumumkan sehari sebelum itu; yang antara lain bagi mengkaji semula pelan pemulihan TH.

”Justeru penetapan TH di bawah APKI adalah pra matang dan boleh memprejudis siasatan RCI dan meletakkan mandat suruhanjaya siasatan diraja sebagai lemah dan tidak bermakna.

”RCI seharusnya diberikan tempoh yang wajar bagi menyempurnakan siasatannya sebelum apa-apa keputusan penetapan TH tersebut diumumkan,” katanya mereka.

Antara NGO yang terlibat ialah Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan Majlis Perundingan Melayu (MPM).

Atas dasar di atas, mereka menggesa keputusan penetapan TH sebagai institusi perbankan Islam digantung dan ditangguh dengan segera sehingga siasatan RCI selesai dan sehingga pandangan semua pihak termasuk pakar dan badan-badan NGO Islam diambil kira. – MalaysiaGazette