Datuk Tan Lek Khang (belakang dua dari kanan) bergambar bersama antara pelajar B40 yang menerima telefon pintar untuk digunakan bagi PdPR.

 

SEGAMAT – Kekalutan seorang ibu apabila dua anaknya terpaksa berkongsi telefon bimbit untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selesai selepas menerima sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatian (PKJP).

Seorang suri rumah, M. Henmolie, 32, berkata, dia terpaksa meminjamkan telefon miliknya untuk digunakan oleh dua anaknya, masing-masng tahun tiga dan enam secara bergilir-gilir untuk mengikuti PdPR.

“Meskipun begitu, pembelajaran mereka tetap terganggu kerana jadual yang bertembung dan menyukarkan mereka tetapi saya tidak mampu untuk membeli untuk mereka,” katanya semasa menerima sumbangan tersebut.

Sumbangan oleh PJKP itu melalui kerjasama Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), selain pengurusan sekolah di sekitar daerah ini.

Dua anak Henmolie merupakan antara 10 lagi pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Cantuman Chaah dan sekolah-sekolah lain yang menerima telefon pintar yang hasil kerjasama dengan PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Cantuman Chaah dan beberapa di sini.

Seorang bapa yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), Sami Dass, 43, berkata, dengan adanya telefon pintar itu, ia akan dapat memastikan anaknya tidak terlepas kelas yang diadakan secara dalam talian.

“Keluarga kami hanya ada satu telefon pintar dan saya terpaksa gunakannya untuk bekerja. Apabila saya keluar bekerja, anak saya akan terlepas kelas kerana kami tidak mampu untuk membeli telefon baharu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PJKP, Datuk Tan Lek Khang berkata, kerjasama dengan PIBG adalah satu usahasama pintar kerana melaluinya mereka dapat mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan gajet itu.

“Sebagai NGO, kita perlu bekerjasama dengan pemegang taruh seperti PIBG dalam mengenalpasti pelajar yang terjejas dalam memastikan tiada pelajar tercicir ketika kita mendepani pandemik ini,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian sumbangan itu.-MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast