KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mewujudkan perkhidmatan hotline untuk membantu usahawan yang mengalami tekanan mental dan emosi akibat kawalan pergerakan yang berterusan.
“Hotline ADU@MEDAC dilihat sebagai perkhidmatan sokongan penting MEDAC dan agensinya untuk menangani kebimbangan dan isu kesihatan mental yang menjadi masalah terbesar yang dialami para usahawan pada masa ini,” menurut MEDAC dalam kenyataan hari ini.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, berikutan tempoh kawalan pergerakan yang tidak dapat dipastikan, ramai usahawan tidak dapat menjalankan perniagaan mereka selama hampir setahun dan kini berdepan masalah kewangan.
Wan Junaidi berkata, impak kawalan pergerakan bukan sahaja menjejaskan aspek ekonomi, malah aspek sosial dan boleh mewujudkan kesan negatif kepada keadaan sosio-ekonomi negara sekiranya situasi sedemikian berpanjangan.
“Kerajaan amat prihatin bahawa rakyat terjejas dan mencari kaedah penyelesaian yang seimbang bagi menangani masalah ini. Kawalan pergerakan bukan lagi penyelesaian kepada isu ini,” katanya.
Talian hotline ADU@MEDAC 1-300-88-1020 beroperasi dari 9 pagi hingga 9 malam dan menjadi pusat sehenti kepada usahawan yang terjejas.
Panggilan mengenai nasihat dan masalah berkaitan kewangan akan disalurkan kepada agensi di bawah MEDAC manakala isu berkaitan mental akan diserahkan kepada agensi yang menguruskan isu psikososial seperti Talian Kasih dan Talian Bantuan Psikososial COVID-19. – MalaysiaGazette