Pengawai penyiasat menunjukkan sebahagian ganja yang dirampas pihak polis pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Pelajar universiti awam antara lima ahli sindiket diberkas polis kerana terlibat dalam kegiatan mengedar dadah di negeri ini.

Kesemua lima lelaki berusia lingkungan 22 hingga 46 tahun itu diberkas dalam beberpa serbuan di sekitar George Town dan Gelugor selama dua hari bermula Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki di tepi jalan di Gelugor pada jam 6.30 petang yang membawa kepada penemuan 24.6 kilogram (kg) ganja.

Mustafa Kamal.

Jelas beliau, ketika serbuan kesemua suspek sedang memunggah ketulan mampat ganja itu dari sebuah lori.

“Berpandukan maklumat salah seorang suspek berusia 46 tahun, polis telah menyerbu sebuah pangsapuri di kawasan sama yang disewa suspek sebelum menemui 1.9 kg heroin dan 16.8 gram ganja. Turut disita sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipercayai hasil kegiatan pengedaran dadah.

“Susulan itu, kita serbu sebuah lagi pangsapuri di Gelugor juga dan di sana kita merampas wang tunai RM7,000.

“Selepas itu kita menahan dua lagi suspek termasuk ketua sindiket berkenaan di dua pangsapuri berbeza di sekitar George Town selain merampas ganja seberat 22 gram dalam milikan salah seorang mereka,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambah Mustafa Kamal, hasil siasatan mendapati sindiket itu aktif melakukan kegiatan mengedar dadah sejak lima bulan lalu dan suspek utama berusia 31 tahun itu mendapat bekalan dari sebuah negeri di utara tanah air.

Kata beliau, secara keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM83,175 manakala nilai sitaan pula, RM55,000 iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha Y150, kereta Myvi serta wang tunai.

“Semakan mendapati mereka yang ditahan terdiri daripada pemandu lori, penghantar dokumen, penuntut universiti serta dua lagi penganggur dan kesemua mereka positif dadah.

“Selain itu, kesemua mereka juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah,” ujar beliau.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 23 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette