Shamsul Anuar Nasarah

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan telah bersetuju memberi diskaun kadar pajakan sebanyak 50% bagi tahun 2021 daripada nilai kadar pajakan tahunan kepada pemajak tanah persekutuan yang memenuhi kriteria ditetapkan oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Sekiranya pemajak tidak memenuhi kriteria yang membolehkan pengurangan kadar pajakan diberikan, pemajak-pemajak boleh mengemukakan permohonan
penjadualan semula bayaran pajakan bagi tahun 2021 kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan serta dikecualikan denda lewat.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, inisiatif ini dapat membantu pemajak untuk menyusun semula aliran tunai bagi mengekalkan perniagaan mereka di atas tanah-tanah persekutuan, di samping mengelakkan tanah-tanah tersebut daripada terbiar.

Kerajaan Persekutuan melalui Pesuruhjaya Tanah Persekutuan boleh memajak tanah Persekutuan kepada pihak lain berdasarkan Seksyen 221 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dengan menandatangani Perjanjian Pajakan mengikut tujuan-tujuan yang dibenarkan dan dikenakan bayaran pajakan secara tahunan.

Berikutan penularan wabak Covid-19, Kerajaan Persekutuan amat prihatin dengan beban yang dihadapi oleh segenap masyarakat dan sektor, termasuklah pemajak-pemajak tanah persekutuan yang antaranya, terdiri daripada sektor pelancongan, perhotelan, penerbangan dan pelabuhan yang merupakan sektor yang paling teruk terjejas dan memerlukan masa untuk kembali stabil. – MalaysiaGazette