Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah melaksanakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lapan lokaliti di Sabah dan Sarawak mulai Khamis ini.

Penguatkuasaan PKPD itu bermula pada 22 Julai ini untuk tempoh 14 hari sehingga 4 Ogos ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Lapan lokaliti yang diumumkan PKPD adalah dua di Kuching Sarawak iaitu Kampung Bintawa Hilir dan Kampung Sungai Tapang.

Manakala enam lagi dikesan di Sabah iaitu empat daripadanya Kilang Papan Lusera Telipok, Kampung Mogiding Malawa dan Kuarters Pekerja Progressid Perwira, Kampung Sinulihan dan Universiti Utama Condominium Fasa 2 di Kota Kinabalu disusuli Kampung Guruh-Guruh di Sipitang dan Kampung Air dan Kampung Bokara di Sandakan Sabah.

Pelaksanaan PKPD di lapan lokaliti membabitkan dua negeri tersebut diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara yang bermesyuarat petang tadi, katanya.

“Sidang Khas MKN telah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan di lapan lokaliti tersebut membabitkan penilaian risiko serta trend peningkatan kes jangkitan Covid-19.

“Berdasarkan hasil penilaian risiko KKM dan cadangan, kita membuat kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti yang berkenaan dari 22 Julai hingga 4 Ogos ini.

“Langkah itu bertujuan untuk mengekang keluar masuk penduduk sebagai mengelak risiko penularan Covid-19 ke kawasan lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sidang khas MKN juga bersetuju untuk menamatkan PKPD di Dua perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Kerpal dan Kampung Pinang di Rompin, Pahang pada 21 Julai 2021 jam 11.59 malam.

PKPD dilaksakanan di kedua-dua perkampungan Orang Asli berkenaan pada 8 Julai lalu.

Justeru, Menteri Pertahanan itu juga mengesahkan pelanjutan PKPD di dua lokaliti di Sabah bermula 22 Julai ini hingga 4 Ogos depan.

Lokaliti yang terlibat dalam pelanjutan PKPD oleh MKN adalah Kampung Sri Menanti, Tawau dan Perkempungan Kepulauan Gaya di Kota Kinabalu iaitu Kampung Pondo, Kasuapan, Lok Urai dan Pulau Gaya.

“Setelah mendengar dan meneliti pembentangan penilaian risiko di kawasan berkenaan oleh MKN dengan jawatankuasa penilaian risiko, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di lokaliti-lokaliti yang disenaraikan itu,” tegasnya.

Ia sebagai langkah meneruskan saringan dan pengesanan kontak rapat mengawal penularan Covid-19, katanya.-MalaysiaGazette