KUALA LUMPUR – Tanpa aktiviti ziarah dan majlis korban yang terhad – umat Islam tetap merayakan Hari Raya Aidiladha hari ini dengan norma baharu mengekang Covid-19.
Solat sunat hari raya yang dibenarkan di masjid dan surau terpilih dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada orang Islam terutama dapat bertakbir di rumah Allah.
Namun mereka kena akur dengan memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan menggunakan pensanitasi sebagai SOP.
Bagaimanapun dengan kekangan itu ramai menyambut kedatangan 10 Zulhijjah dengan bersolat sunat dan makan sekeluarga di rumah masing-masing.
Hari ini masuk tahun kedua, umat Islam di negara ini tidak menyambut Aidiladha seperti biasa.
Rata-rata proses korban dilakukan di pusat penyembelihan malah ramai melakukannya secara dalam talian mewakilkan agensi-agensi tertentu bagi korban dalam dan luar negara.
Tidak ada lagi senario balik kampung beramai-ramai, gotong royong menyembelih dan melapah haiwan korban seperti biasa.
Ucapan hari raya bersama keluarga dan rakan juga dibuat melalui kemudahan teknologi bagi berkongsi rasa gembira dan bertanya khabar.
Bagaimanapun bagi orang Islam, semangat dan pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s tetap menjadi teladan hendak pula dalam keadaan pandemik yang melanda.- MalaysiaGazette