Persekutuan Pekilang -Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan mengenakan levi RM10,000 bagi tempoh tiga tahun, dan bukannya meminta majikan membayar jumlah itu setiap tahun untuk melanjutkan khidmat pekerja asing mahir mereka.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) berharap kerajaan akan membenarkan syarikat pembuatan dalam semua sektor bukan perlu untuk menyambung semula operasi dengan kapasiti tenaga kerja 50 peratus, tanpa mengambil kira sama ada mereka berada dalam Fasa Satu atau Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata,  pengeluar dalam sektor bukan perlu, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana serta mikro (PKSM), kini berada dalam keadaan tenat dan telah terjejas teruk disebabkan penggantungan perniagaan yang berpanjangan.

Menurut kaji selidik terkini FMM, jualan sektor bukan perlu telah terjejas teruk dan perniagaan menghadapi kekangan aliran tunai yang serius berikutan pesanan yang tertangguh dan yang akan datang terganggu dengan ketidaktentuan mengenai bila operasi akan dibenarkan disambung semula.

“Sementara itu, pembekal menjangka bayaran tepat pada waktunya, gaji pekerja perlu dibayar sepenuhnya walaupun tiada kerja sebenar yang dilakukan, utiliti dan sewa perlu dibayar, kos logistik meningkat berikutan pembatalan/penangguhan penghantaran dan/atau kargo yang berada di pelabuhan serta terdapat penalti yang dikenakan terhadap kelewatan penghantaran.

“Ini menyebabkan kebanyakan perniagaan dalam sektor bukan perlu berada dalam situasi yang amat tidak menentu dengan risiko yang menjejaskan, mengakibatkan pengangguran yang tinggi jika sekatan terhadap operasi perniagaan berterusan tanpa tempoh yang tidak dapat ditentukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Soh berkata terdapat juga kebimbangan bahawa jika mereka tidak dibenarkan untuk menyambung semula operasi dengan segera, banyak perniagaan yang tidak akan ada untuk membantu membina semula ekonomi apabila perniagaan dibenarkan untuk dibuka semula. – MAlaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast