tempoh enam jam yang diberikan pihak berkuasa untuk majikan mengambil pekerja asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah tidak mencukupi.- Gambar hiasan.

SEPANG – Prosedur urusan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang bergerak perlahan dan jumlah orang yang terlalu ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyebabkan sehingga 1,000 pekerja asing tanpa izin (PATI) yang menyertai program itu terkandas.

Sinchew Daily melaporkan, terdapat PATI telah membeli tiket penerbangan dan menjalani ujian saringan COVID-19 untuk pulang ke negara asal secara sukarela, tetapi akhirnya terlepas penerbangan.

Keadaan itu turut menyebabkan PATI yang sudah tiada duit lebihan terkandas di KLIA sambil menunggu bantuan.

Jabatan Imigresen telah membuka kaunter khas untuk urusan rekalibrasi sejak 5 Julai yang beroperasi 24 jam, namun kaunter tersebut tidak dapat mengendalikan jumlah PATI yang ramai.

Untuk menyertai rekalibrasi, PATI perlu mendapat permit pelepasan khas, tiket penerbangan, e-wallet atau kad kredit untuk menjelaskan kompaun RM500 serta laporan saringan COVID-19 yang negatif 72 jam sebelum pelepasan.

PATI berkenaan juga perlu tiba di kaunter khas di KLIA enam jam sebelum penerbangan mereka.

Namun begitu, Sinchew Daily melaporkan, terdapat warga asing yang tiba di KLIA sehari sebelum waktu pelepasan, tetapi masih gagal melepasi proses pendaftaran.

Keadaan itu menyebabkan mereka terlepas penerbangan dan ujian saringan COVID-19 mereka juga menjadi tidak sah.

Disebabkan kekangan kewangan, mereka terpaksa menunggu di KLIA.

Sejak program itu dilaksanakan selama kira-kira dua minggu, KLIA kini dipenuhi warga asing yang sedang menunggu untuk melepasi urusan rekalibrasi.

Mereka antaranya ditempatkan di tempat meletak kenderaan C untuk mengelakkan kesesakan di balai ketibaan di aras tiga.

Tinjauan mendapati terdapat warga asing yang berkumpul dan makan bersama, selain berbaring di atas lantai.

Petugas di lapangan terbang juga memberitahu mereka berasa tertekan dengan jumlah warga asing yang ramai, walaupun mereka telah melalui saringan COVID-19 sebelum ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast