SEPANG – Sehingga kini, tiada atlet negara yang berada Tokyo dijangkiti Covid-19, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ujarnya, ada dalam kalangan atlet yang akan menyertai Sukan Olimpik kini masih menjalani kuarantin atas ketetapan kerajaan Jepun.
“Kita ada pegawai yang memantau keadaan atlet di sana, setakat ini alhamdulillah tidak ada kes jangkitan kepada atlet kita,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Movenpick Kompleks Tabung Haji, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Fayhsal bimbang dengan risiko sukan Olimpik yang mungkin dibatalkan pada saat-saat akhir berikutan penularan Covid-19 di Jepun yang kian meningkat.
Tambah beliau, atlet negara sudah memulakan memulakan latihan ringan.
Malaysia mnghantar 18 atlet dan 13 jurulatih ke Tokyo dalam usaha memburu pingat emas pertama pada temasya sukan terbesar dunia itu.
Sementara itu, Ahmad Fayhsal memberitahu, seramai 3,000 orang penggiat sukan telah berdaftar untuk menjadi sukarelawan di bawah Vaccine Support Volunteers (MyVac).
MyVac merupakan antara inisiatif di bawah Geran Prihatin Industri Sukan (GPIS) yang diumum Menteri Belia Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican baru-baru ini. – MalaysiaGazette