Azizulhasni Awang

‘TIGA!’ itu sasaran rasmi kutipan pingat yang Malaysia sasarkan untuk dituai kontinjen negara pada Sukan Olimpik Tokyo yang bermula Jumaat ini. Pengumuman tersebut dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican menurut beliau dianggap realistic mengambil kira factor cabaran besar yang terpaksa diharungi atlet terutamanya tidak dapat menjalani latihan seperti biasa dan tidak dapat pendedahan melalui penyertaan kejohanan kompetitif bagi meningkatkan daya persaingan mereka.

Dalam tiga pingat yang disasarkan, salah satunya darinya termasuk pingat emas yang sudah sekian lama negara nantikan sejak sekian lama. Atas kertas, dua atlet negara iaitu jaguh basikal trek, Datul Azizulhasni Awang atau ratu terjun negara, Pandalela Rinong merupakan ayam tambatan negara untuk menamatkan penantian Malaysia meraih emas sulung pada temasya terbesar dunia itu berdasarkan prestasi semasa masing-masing. Selain acara lumba basikal (trek) dan akuatik (terjun), badminton satu lagi acara diletakkan harapan mampu menyumbang pingat buat negara.

Penulis meyakini kesemua atlet yang mewakili negara ke Olimpik Tokyo berada dalam motivasi tertinggi membawa obor Malaysia ke negara matahahari terbit berkenaan. Masing-masing juga menyimpan harapan untuk mencipta kejutan menyumbang pingat walaupun tidak diletakkan dalam sukan sasaran oleh Kementerian Belia dan Sukan.

‘Sudah pastinya gelaran itu menyuntik lagi semangat saya untuk merealisasikan impian negara memburu pingat emas pertama dalam temasya terbesar dunia (Sukan Olimpik)’ itu reaksi The Pocket Rocketman, Azizulhasni Awang apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) oleh Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk.

Menjadi atlet Olimpik pertama kelahiran Terengganu yang mendapat gelaran tersebut, anak muda kelahiran Dungun berusia 33 tahun ini sememangnya layak menerima pengiktirafan sebesar ini atas sumbangan dan kejayaan hebat beliau di pentas antarabangsa khususnya.

Penganugerahan ini secara tidak langsung menghargai jerih perih dan titis peluh dan beliau mengayuh siang dan malam selama 15 tahun terbabit dalam sukan berbasikal. Tempoh 15 tahun bukannya tempoh masa yang pendek dan selama itul jugalah begitu banyak dan besar pengorbanan beliau lakukan. Bukan sahaja beliau, insan-insan yang terdekat dengannya juga ‘terpaksa’ ikut berkorban untuk melihat Azizulhasni ‘mengayuh’ ke puncak kejayaan. Antara kejayaan manis beliau hadiahkan buat negara adalah pingat gangsa acara keirin dalam temasya Olimpik Rio 2016 dan juara dunia keirin 2017.

Azizulhasni atau Jijoe bukanlah atlet pertama yang ketika masih ‘berkhidmat’ menerima gelaran Datuk, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David memecah tradisi ini terlebih dahulu apabila menerima gelaran Datuk pada 2008. Pada kelazimannya sebelum itu, atlet negara menerima penghormatan seumpama itu setelah mereka bersara. Malahan Lee Cong Wei dan Nicol David masing-masing menerima dan membawa gelaran Datuk ketika mereka masih muda iaitu berusia sekitar 25-26 tahun ketika itu.

Manakala untuk ratu terjun negara, Pandalela Rinong, 28 tahun, menghadirkan keyakinan negara ‘ada keajaiban’ akan diciptakanya di Tokyo setelah menjadi pemenang pingat emas tunggal Malaysia dalam Kejohanan Piala Dunia Terjun Fina di Jepun baru-baru ini. Berusia 28 tahun, anak kelahiran Sarawak ini mencipta rekod peribadi pertamanya di Sukan Olimpik apabila memenangi pingat gangsa dalam acara 10 meter platform individu di Olimpik London 2012 dan kemudiannya pingat perak bagi acara 10 meter seirama bersama gandingannya, Cheong Jun Hoong di Olimpik Rio 2016.
Di Tokyo kali ini, Azizulhasni akan beraksi dalam acara keirin dan pecut individu manakala Pandalela akan menyertai acara 10 meter platform individu dan seirama bersama Leong Mun Yee.

Kerajaan sentiasa menghargai kejayaan besar yang dirangkul atlet kita melalui pelbagai insentif diberikan dan salah satunya Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) yang telah sedia menanti apabila mereka pulang kelak bersama pingat.

Hakikatnya melalui sistem kejurulatihan yang mantap, pendedahan yang meluas dalam pelbagai kejohanan dan disiplin tinggi atlet itu sendiri sebagai kunci utamanya, sudah terbukti atlet kita di usia yang masih muda sudah berada di puncak dunia. Apabila mereka sudah berjaya, hargai kejayaan mereka ini dengan cara yang selayaknya dengan pemberian insentif dan lain-lain yang difikirkan bersesuaian termasuk penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang selayaknya.

Dengan melihat ufuk yang lebih luas, janganlah dilihat dan dinilai kejayaan seseorang itu semasa mereka sedang menjulangnya, tetapi renung juga kembali pengorbanan-pengorbanan yang sudah mereka lalui untuk menuai hasil pada masa kini. Setiap pengorbanan akan memberikan hasil yang manis di kemudian hari, buat semua atlet negara yang akan membawa nama negara ke Tokyo, selamat berjuang, Demi Malaysia!

Catatan : Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast