KUALA LUMPUR – Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah menyemak semula unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) 2021 sebanyak 5.6 peratus kepada 500,000 unit berbanding 570,000 unit yang diramalkan pada Januari 2021, berikutan faktor semasa ekonomi dan persekitaran.
Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad berkata, perubahan itu dibuat selepas mempertimbangkan banyak faktor terutama berkaitan andaian mengenai arahan kerajaan bahawa kilang automotif, pusat pengedaran dan bilik pameran jualan hanya akan dibenarkan dibuka semula menjelang Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Oleh itu, kami tidak mencatatkan jualan dan pengeluaran, ia akan berlarutan ke beberapa bulan akan datang. Kami tidak tahu bilik pameran dan kilang pemasangan kenderaan tempatan (CKD) kami akan diberi kebenaran untuk dibuka. Ini amat membimbangkan kami.
MAA telah menghantar beberapa rayuan kepada kerajaan untuk membolehkan sektor ini dibuka semula dengan prosedur operasi standard yang ketat, dengan sekurang-kurangnya 60 peratus pekerja dibenarkan bekerja.
Ketidakpastian terhadap pandemik dan kemungkinan pengenaan semula langkah pembendungan COVID-19 mungkin akan melemahkan pertumbuhan ekonomi negara termasuk permintaan terhadap kenderaan baharu.
Sementara itu, TIV bagi kenderaan baharu yang didaftarkan dalam tempoh enam bulan pertama 2021 adalah lebih tinggi sebanyak 43.6 peratus kepada 249,129 unit berbanding 173,545 unit yang direkodkan pada tempoh yang sama sebelum ini disebabkan asas yang rendah pada suku pertama 2020 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Bagaimanapun, Aishah berkata jualan kenderaan baharu bagi Jun 2021 turun 96 peratus kepada 1,921 unit berbanding 47,204 unit yang dicatatkan semasa Mei disebabkan sekatan pergerakan di seluruh negara sepanjang Jun lepas.
TIV Mac 2021 adalah yang tertinggi pada separuh pertama 2021 berikutan desakan untuk penghantaran oleh ahli-ahli MAA yang mempunyai tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2021, katanya.
“Jualan telah terhenti di beberapa buah negeri sejak 1 Jun lepas selepas sektor automotif tidak tersenarai sebagai aktiviti ekonomi penting. Buat masa ini hanya bengkel kenderaan bermotor sahaja yang dibenarkan beroperasi,” katanya. – MalaysiaGazette