Tangkap layar menunjukkan ratusan warga asing mendirikan solat sunat Aidiladha di Taman Pelangi, Juru pada 20 Julai lalu.

GEORGE TOWN – Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman meminta pihak polis menggunakan sedikit budi bicara terhadap mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) mendirikan solat sunat Aidiladha di kawasan pangsapuri Taman Pelangi, Juru pada Selasa lalu.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang menegaskan permintaan itu dibuat susulan rasa kurang senang orang ramai yang disampaikan pada beliau apabila melihat imej tahanan reman dibawa dengan tidak memakai kasut dan digari Hanya kerana melanggar SOP untuk menunaikan solat sunat tersebut.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia atas tindakan penguatkuasaan undang-undang dengan pantas mengena pasti dan menahan individu-individu yang sewang-wenangnya melanggar SOP ini.

“Ini bertepatan dengan tindakan tegas kerajaan di dalam menangani ketidakpatuhan SOP di dalam usaha memerangi Covid-19 yang makin mengganas, namun diharapkan pihak polis boleh melaksanakan sedikit budi bicara di dalam hal ini.

“Selain itu, kita juga berharap insiden ini menjadi peringatan kepada semua, khususnya pihak pentadbiran masjid dan surau di Pulau Pinang untuk terus sama-sama mengambil serius di dalam mematuhi SOP yang ditetapkan demi keselamatan kita bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zakiyuddin.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin berkata, pihaknya sudah meminta laporan daripada pengerusi kariah Taman Pelangi dan Pegawai Tadbir Agama Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) bagi mendapat penjelasan lanjut.

Jelas beliau, berdasarkan kronologi kes, didapati pihak kariah sudah mematuhi SOP ditetapkan, yang mana hanya 100 jemaah dalam kalangan warganegara dan pemastautin tetap serta mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin dibenarkan bagi menunaikan solat sunat Aidiladha pada pagi itu.

“Penekanan SOP sudah dibuat oleh pengerusi kariah bagi tidak membenarkan warga asing menunaikan solat pada waktu itu namun mereka tetap berdegil dengan terus menghampar sejadah di luar kawasan surau dan mengikut solat yang sedang berlangsung.

“Ia jelas di luar kawalan pihak jawatankuasa kariah memandangkan mereka sudah mengunci pagar surau sebaik jumlah jemaah mencukupi had ditetapkan,” kata Ahmad Zakiyuddin.

MalaysiaGazette pada Selasa lalu melaporkan polis Pulau Pinang sedang mengesan kira-kira 200 individu dipercayai warga asing yang bertindak melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan mendirikan solat sunat Aidiladha di kawasan pangsapuri Taman Pelangi, Juru.

Insiden itu dilaporkan berlaku pada jam 8.30 pagi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil siasatan awal mendapati pihak pengurusan surau menghadkan jumlah jemaah seramai 100 orang sebelum menutup pagar sebaik melihat jemaah mula membanjiri kawasan tersebut.

Hasil soal siasat awal pihak surau memberitau insiden itu berlaku secara spontan menyebabkan mereka tidak menghubungi pihak polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast