Datuk Arjunaidi Mohamed

KUALA LUMPUR – Polis Selangor telah menerima sebanyak 220 kes ugutan dan pemerasan untuk menyebarkan video lucah milik mangsa oleh sindiket jenayah sepanjang 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini.

Sejak kebelakangan ini isu mangsa terpedaya selepas berkongsi gambar bogel kepada orang yang mereka baru kenali melalui media sosial sehingga membabitkan kerugian ribuan ringgit akibat diperas ugut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, mengikut pecahan, sebanyak 29 kes daripadanya membabitkan kenalan mangsa seperti bekas suami atau bekas teman lelaki atau kenalannya.

“Manakala sebanyak 137 kes yang mana individu yang tak dikenali menghantar video bukan milik mangsa untuk mengganggu mangsa.

“Selebihnya, 54 kes adalah melibatkan mangsa diperdaya dengan sindiket akan mencari kenalan melalui laman sosial sehingga memperdaya mangsa membuat aksi lucah semasa sedang live tanpa mengetahui aksi mereka direkod oleh sindiket,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Arjunaidi, kebanyakan mangsa-mangsa yang terpedaya dan terjerat dalam perangkap sindiket pemerasan video lucah itu berusia lingkungan 20-an hingga 60-an.

Tambah beliau, hasil siasatan juga mendapati modus operandi yang digunakan sindiket pemerasan itu adalah memperdaya mangsa tidak mengira lelaki atau wanita, umur serta bangsa bagi mendapatkan apa yang mereka mahukan menggunakan aplikasi yang memudahkan mangsa berkomunikasi.

Menurut beliau, mangsa diperdaya  sehingga sanggup berbogel dan mengikut arahan yang diberikan dan sindiket itu merakam video serta gambar-gambar lucah mangsa supaya mereka boleh memeras ugut mangsa untuk menyebarkannya jika mangsa tidak memberikan apa yang mereka minta.

Antara aplikasi yang sering digunakan oleh sindiket adalah Wechat, Facebook, Michat, WhatsApp, laman web GODATE2NIGHT, Locanto.asia, LINE, Skype, Mingle2, Tantan, Tinder, Perkhidmatan urutan tradisional, aplikasi swag (pelaburan), Twitter, Telegram, Bitcoin dan lain-lain lagi.

“Sindiket ini membuat ugutan terhadap mangsa dengan meminta sejumlah wang sehingga mendatangkan ketakutan dan sanggup memberikan wang kepada sindiket. Jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah diantara RM3,000 minimum hingga maksimum RM50,000.

“Sindiket berkenaan juga menggunakan akaun bank tempatan seperti Maybank, CIMB Bank, Bank Islam, RHB Bank, Public Bank, BSN, Hong Leong, dan Bank Islam.

“Ada juga sindiket pemerasan yang menggunakan akaun luar negara seperti Western Union, e-wallet, Bank Rakyat Indonesia dan Money Changer bagi mengelakkan daripada maklumat mereka dihidu dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“Oleh demikian, pihak polis ingin menasihatkan kepada masyarakat supaya mengelakkan diri daripada melakukan aksi yang mengaibkan diri melalui komunikasi digital agar tidak menjadi mangsa pemerasan di kemudian hari,” tegasnya.-MalaysiaGazette