Dr. Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman disaran mencontohi kekuatan dan kecekalan Datuk Seri Najib Tun Razak yang terpaksa berulang alik ke mahkamah jika pertuduhan terhadapnya satu pendakwaan politik.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, bekas Menteri Belia dan Sukan itu perlu memanfaat perbicaraan itu untuk membersihkan namanya dan membuktikan beliau masih berprinsip dalam menerajui parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

“Jika benar, pertuduhan terhadap kamu hari ini adalah political motivated, kamu akan jadi pemimpin besar jika tidak jual diri.

“Sekarang kamu rasa musibah pendakwaan politik. Dulu kamu hina Najib.

”Kamu contohi Najib Razak. Be strong. Jangan goyang dan jangan masuk kluster katak, walau terpaksa turun naik mahkamah.

“Saya UMNO, kamu Muda. Kamu Ketua Muda. Kamu kini berpeluang membuktikan kemudaan¬†perjuangan kamu yang teruji tetapi berprinsip. Jangan jadi macam Xavier,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu Syed Saddiq didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang RM1 juta dana milik Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Syed Saddiq, 29, pada 6 Mac 2020, yang ketika itu menjawat jawatan Ketua Armada melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana berjumlah RM1 juta.

Beliau membuat pengeluaran dana berkenaan melalui cek CIMB Bank Berhad bernombor 000108 tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB, Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur.

Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta denda. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.