KUALA LUMPUR – Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful)  mengadakan kerjasama dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) melalui anak syarikatnya, Takaful Malaysia Am Berhad (STMAB) untuk memperkenalkan pelan kemalangan diri secara ekslusif untuk pelanggannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil berkata, Takaful myProtect PA melalui Program i-Prihatin LPPSA merupakan komitmen  menyediakan penyelesaian insurans bagi memenuhi keperluhan pelanggan LPPSA.

“Pengenalan Takaful myProtect PA kepada pelanggan LPPSA merupakan satu lagi mercu tanda terhadap hubungan kerjasama yang telah lama terjalin.

“Pada masa ini, kami adalah salah satu panel insurans untuk LPPSA yang menawarkan Mortgage Reducing Term Takaful (MRTT) untuk pembiayaan rumah kepada kakitangan di sektor awam,” katanya menerusi kenyataan.

Menerusi Takaful myProtect PA, pelanggan LPPSA ditawarkan perlindungan kemalangan diri secara menyeluruh sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan, keilatan menyeluruh atau separuh dan kekal sehingga RM100,000.

Jelas Mohamed Hassan, pelanggan LPPSA layak memohon pelan perlindungan tambahan dengan sumbangan yang berpatutan iaitu RM100 setahun dengan pelbagai manfaat dan perlindungan.

Pelan ini termasuk perlindungan tambahan untuk kematian akibat kemalangan atau keilatan menyeluruh dan kekal akibat kemalangan semasa melancong ke luar negara atau di dalam pengangkutan awam.

Takaful myProtect PA juga memberikan manfaat dan perlindungan lain seperti badal haji, perbelanjaan perubatan dan bayaran ambulans, perbelanjaan pengebumian, elaun kecederaan akibat diragut, kehilangan akibat rompakan ATM, elaun penyembuhan denggi, dan pendapatan harian hospital akibat kemalangan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Mohd Farid Nawawi berkata, produk insurans ini ditawarkan secara pilihan untuk pemegang akaun sedia ada LPPSA yang aktif, dan memberikan perlindungan serta manfaat tambahan selain daripada perlindungan diri.-MalaysiaGazette