KUALA LUMPUR – Semua kilang tidak akan terkecuali dengan tindakan penutupan sekiranya didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP).
Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak akan berkompromi dengan kilang yang gagal patuh SOP semasa pemeriksaan dijalankan.
“Kilang yang didapati tidak patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) akan berdepan dengan penutupan akibat sikap tidak bertanggungjawab mereka.
“Pihak Pasukan Petugas Khas Covid-19 yang telah ditubuhkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak akan berkompromi dengan kilang yang gagal patuh SOP semasa pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Azmin berkata, daripada 14 Januari sehingga 19 Julai tahun ini, pihak MITI telah membuat lawatan mengejut ke atas 2,340 kilang.
Daripada jumlah itu, sebanyak 1,483 kilang didapati telah melanggar SOP sektor pembuatan.
Pemeriksaan ini dijalankan secara bersepadu bersama kementerian dan agensi lain berdasarkan aduan awam serta senarai Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE).
Azmin berkata kilang-kilang yang didapati melanggar SOP perlu mengambil contoh kilang-kilang yang patuh kepada SOP yang mengambil inisiatif tambahan dalam pelaksanaan SOP mereka.
“Antara SOP tambahan yang dilakukan adalah tidak menggunakan sejadah di surau, memastikan topeng kekal dipakai semasa bersolat, meletakkan pensanitasi di setiap tangga, meletakkan nama unit atau bahagian di setiap meja makan di kantin, membuat ujian Covid-19 dengan kerap dan hanya membenarkan individu yang negatif untuk masuk ke premis.
“Semoga dengan pematuhan SOP sedia ada dan SOP tambahan yang lebih ketat ini membantu mengekang penularan wabak Covid-19 di tempat kerja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette