Seorang wanita Indonesia dituduh menggunakan kad pengenalan paslu di Mahkamah Majistret George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang wanita warga Indonesia didenda RM14,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan menggunakan kad pengenalan (MyKad) palsu.

Tertuduh, Ziehara Toding, berusia 22 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret R. Manomani sejurus pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan pekerja sosial di sebuah Motel di Pulau Pinang didakwa menggunakan aplikasi MySejahtera identiti seorang wanita berusia 28 tahun.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di  daerah Timur Laut di sini di antara 24 Jun hingga 12 Julai lalu.

Zhiehara Toding dihadapkan ke Mahkamah Majistret George Town hari ini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM6,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang sudah menetap di negara ini kira-kira lima tahun itu didakwa dengan sengaja memiliki MyKad tesebut atas nama Ziehara Boisi sebagai dokumen pengenalan dirinya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di alamat 1-17-04, Desa Pinang 2, Lebuh Sungai Pinang, George Town antara jam 12.30 tengah hari dan 2.30 petan,  Sabtu lalu.

Bagi kesalahan itu, mahkamah memutuskan denda RM8,000 terhadap tertuduh atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa melakukan dua kesalahan itu di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan sama.

Kes dikendalikan Pegawai pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara, Azry Ahmad.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Nur Zulfa.

Sementara itu, Pengarah JPN negeri, Nur Zulfa Ibrahim berkata, kes tersebut merupakan antara 11 kes yang dituduh di mahkamah sepanjang tahun ini membabitkan kesalahan MyKad palsu.

“Sepanjang tahun lalu sehingga Jun tahun ini juga, seramai 25 individu ditahan bersabit kesalahan MyKad palsu menerusi 21 operasi yang dijalankan.

“Daripada jumlah itu, 16 yang ditahan merupakan warga asing, manakala sembilan lagi adalah rakyat tempatan yang antaranya melibatkan kesalahan seperti pendaftaran palsu untuk sijil kelahiran,” katanya kepada pemberita di pekarangan mahkamah. – MalaysiaGazette