JOHOR BAHRU – “Dini jantung hati saya dan demi beri tumpuan sepenuhnya kepada anak syurga ini, saya melupakan hasrat untuk berumah tangga.”
Itu luahan ibu tunggal, Noridah Bachok, 32, yang sanggup bekorban demi memastikan anak tunggalnya mendapat perhatian dan kasih sayang sepenuhnya.
Menurutnya, anak tunggalnya, Nur Dini Umairah Abdullah, 13, atau dikenali Dini merupakan orang kelainan upaya (OKU) pekak bisu sejak dilahirkan.
Selain itu, anaknya juga turut disahkan mengalami kecacatan mental.
Tidak cukup dengan ujian itu, Dini juga dikesan mengalami masalah injap jantung ketika berusia lima bulan dan telah menjalani pembedahan bagi mengatasi komplikasi dialaminya.
Katanya, nasib mereka dua beranak umpama jatuh ditimpa tangga apabila, anak kesayangannya itu disahkan mengalami buta mata kiri pada Jun lalu manakala mata kanannya juga disahkan mengalami masalah retina mengecut.
“Pada awalnya, saya perasan mata dia bewarna putih sepenuhnya tetapi saya tidak sangka warna mata kirinya yang putih sepenuhnya itu adalah simptom kerosakan saraf dan apabila diperiksa doktor mengesahkan mata berkenaan sudah tidak berfungsi,” katanya.
Menurut Noridah, doktor Hospital Sultanah Aminah (HSA) merujuk Dini ke sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur bagi membolehkan anaknya menjalani pembedahan pada 1 Julai lalu bagi mengelak mata kanannya buta.
“Alhamdullilah, kos pembedahan sejumlah RM16,000 ditanggung oleh doktor berhati murni yang melalukan pembedahan berkenaan selepas menyedari kami tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu.
“Luka di mata kanan Dini dijangka pulih dalam tempoh empat hingga lima bulan namun doktor tidak memberi jaminan sama ada daya penglihatannya akan pulih sepenuhnya,” katanya di temui dekat kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Uda Utama hari ini.
Noridah berkata, Dini kini bergantung kepada bantuannya untuk bergerak termasuk ketika makan, minum susu mahu pun ke tandas.
Menurutnya, Dini juga bergantung kepada tiga jenis ubat titis mata yang perlu dititiskan dua jam sekali, lapan jam sekali dan 12 jam sekali.
“Saya dahulu bekerja sebagai tukang masak dan saya mengorbankan kerja kerana mahu memberi jagaan kepada Dini sejak 26 Jun lalu.
“Ketika bekerja di sebuah kafe di sebuah Pelabuhan Gelang Patah saya tidak berdepan masalah untuk menyara Dini kerana pendapatan saya melebihi RM2,000 sebulan malah saya juga dibantu ibu untuk menjaganya sementara saya bekerja.
“Bagaimanapun masalah timbul apabila ibu saya yang berusia lewat 60-an juga tidak mampu menjaga Dini atas faktor usianya dan saya mengambil keputusan berhenti bagi mengelak penjagaannya terabai,” katanya.
Noridah juga tidak pernah berhasrat untuk berkahwin semula selepas berpisah dengan bekas suami sejak 10 tahun lalu kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada Dini.
“Soal berkahwin semula langsung tidak fikir, saya seboleh-boleh mahukan Dini dapat perhatian sepenuhnya daripada saya,” katanya.
Beliau berkata, setiap bulan dia memerlukan kos kira-kira RM1,000 bagi membeli susu dan lampin pakai buang untuk Dini dan ia tidak termasuk bayaran sewa rumah RM250, bil utiliti dan perbelanjaan dapur.
“Buat masa ini saya membantu kakak berniaga makan tengah hari dan pendapatan harian saya adalah RM50. Saya mahu berniaga dari rumah kerana saya ingin memberi tumpuan kepada Dini supaya mata kanannya kembali pulih dan dapat melihat dunia semula.
“Saya masih belum memohon sebarang bantuan bagi Dini kerana tidak boleh meninggalkannya berseorangan diri untuk pergi ke mana-mana meminta bantuan,” katanya.
Bantuan boleh disalurkan di nombor akaun RHB milik Noridah Bachok di nombor 15106700126291.- MalaysiaGazette