Muhammad Nadir Al-Nuri

KUALA LUMPUR – Badan bukan kerajaan (NGO) Cinta Gaza Malaysia (CGM) tidak pernah mengumpul wang derma orang ramai di negara ini sehingga berjumlah RM20 juta setahun, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman.

Hatta jika berlaku peperangan di bumi Gaza sekali pun, jumlah RM20 juta tidak pernah terkumpul.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Nadir Al-Nuri berkata, CGM hanya sebuah NGO kecil dan tidak sampai ke tahap dapat mengumpul derma sebanyak RM20 juta setiap tahun walaupun setiap kali berlaku peperangan di Gaza, CGM didakwa menerima sumbangan sebanyak itu.

“Itu masalahnya, kalau tidak tahu mengenai Gaza, kita jangan membuat tuduhan yang bukan-bukan. Perang di Gaza sejak 2006 hingga tahun ini hanya empat kali sahaja.

“Iaitu tahun 2008 selama 21 hari, tahun 2012 selama tujuh hari, tahun 2014 berlanjutan selama 51 hari dan akhirnya baru-baru ini,” katanya menerusi sesi Townhall yang disiarkan secara langsung di Facebook Terkini dan Sensasi Palestin, hari ini.

Beliau menjelaskan,  NGOnya hanya mengambil satu hingga tiga peratus sahaja daripada wang yang dikumpulkan untuk kos pengurusan bagi membayar sewa pejabat, upah, gaji dan bil-bil.

Menurut Nadir Al-Nuri, laporan audit bebas juga membuktikan CGM tidak songlap duit derma sebagaimana didakwa pihak tertentu.

Kata beliau, walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) membenarkan NGO mengambil 30 peratus, tetapi CGM mengambil satu hingga tiga peratus sahaja dan jumlah itu direkodkan dalam laporan audit.

“Alhamdulillah, dengan laporan daripada Penasihat Audit Bebas Malaysia yang bertanggungjawab mengaudit kewangan CGM, rakyat nampak berapa sebenarnya kita ambil.

Mengenai syarikat yang digunakan NGO untuk mengurus kemasukan ke bumi Gaza bagi tujuan misi kemanusiaan, beliau menjelaskan, ada dua syarikat iaitu Lucky Tour atau Hala dan syarikat Miles of Smiles.

Katanya, Lucky Tour/Hala adalah syarikat pelancongan milik anak Jeneral Mesir yang mengenakan bayaran murah iaitu AS$2,500, manakala syarikat Miles of Smiles yang diuruskan oleh NGO mengenakan bayaran AS$10,000.

Bagaimanapun, jelas Nadir Al-Nuri, wang yang dibayar kepada Lucky Tour/Hala akan menjadi milik pemilik syarikat, sedangkan AS$10,000 yang dibayar kepada Miles of Smiles digunakan untuk manfaat rakyat Palestin.

“Bayaran murah dikenakan Lucky Tour tidak dapat kepada rakyat Palestin, kadar mahal dikenakan Miles of Smiles digunakan sepenuhnya untuk penduduk di Gaza. Itu bezanya antara dua syarikat berkenaan dan tidak sepatutnya menjadi isu.

“Perkhidmatan Miles of Smiles pula ialah mengurus NGO berkenaan menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin, termasuk projek perubatan, berbanding Lucky Tour/Hala berasaskan kepada perniagaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap penjelasannya menerusi sesi itu dapat menjawab teka- teki, persoalan dan pertanyaan rakyat Malaysia, netizen serta pihak tertentu terutama berhubung dakwaan kutipan dana RM20 juta setahun.

Bahkan beliau memaafkan semua pihak yang memfitnahnya selama ini dan tidak bercadang untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang atau membuat laporan polis kerana tugas sukarelawannya membantu rakyat Gaza masih banyak perlu ditumpukan.

Katanya, sesiapa sahaja yang hendak mengetahui lebih terperinci kewangan yang digunakan CGM boleh melayari Facebooknya yang akan dikemas kini dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette