Mohd Faizal Suleiman

KUALA LUMPUR – Cinta Gaza Malaysia (CGM) adalah sebuah pertubuhan NGO antarabangsa yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Ini diakui Penasihat Bebas Audit Dalaman, Mohd Faizal Suleiman yang bertanggungjawab mengaudit dan menyediakan laporan kewangan CGM sejak 2015 sehingga kini.

Dari semakan kunci kira-kira CGM, didapati NGO itu tanpa culas menghantar laporan lengkap kewangan kepada ROS setiap tahun dari 2015 hingga 2019.

“Orang ramai akan bertanya kenapa laporan kewangan sehingga 2019, bagaimana pula dengan laporan 2020?

“Ketika ini laporan kewangan untuk 2020 adalah tertakluk kepada pihak pengurusan, yang bersetuju untuk melantik auditor luaran bagi pelaksanaan audit secara sah.

“Pada saya, ini menunjukkan CGM cuba untuk mengambil pendekatan ke hadapan iaitu sebagai sukarelwan bagi memastikan kewangan mereka dapat diuruskan secara integriti dan bebas,” katanya pada sesi Townhall bersama CEO CGM, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, hari ini.

Katanya, sebagai juru audit CGM, beliau mendapati kos pengurusan yang digunakan oleh jawatankuasa NGO itu sangat kecil atau minimum kalau dibandingkan dengan jumlah yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Analisis itu, menurutnya, menunjukkan sejak dari awal bergerak lagi mereka menggunakan secara minimum kos iaitu tidak membeli apa-apa aset tetap bagi menjaga perbelanjaan yang akan disalurkan ke luar negara, khususnya Gaza.

“Pergerakan kewangan, kita lihat aset tetap tidak ada pada tahun 2017, tapi tahun 2018 telah bertambahnya aset ini kepada RM55,000.

“Selepas tu, dalam 2018 dan 2019 menyaksikan peningkatan aset tetap kepada 17 peratus, aset semasa 27 peratus dan pertambahan juga dari segi dana yang dibiayai sebanyak 22 peratus,” katanya.

Kata Mohd Faizal, apa yang dilakukan CGM ialah menyediakan laporan kewangan yang selaras dengan Seksyen 26 Akta Pertubuhan 1966.

Ini bermakna, CGM telah mengurus kewangan dengan baik, sekali gus menghakis kerisauan atau kebimbangan para penyumbang. – MalaysiaGazette